Tular gambar individu tidur di lantai dan kerusi TBS, cemarkan imej terminal

28 Apr 2025 • 2:07 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Pemandangan beberapa individu yang tidur bergelimpangan di lantai dan kerusi Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pagi ini mengundang perhatian ramai, selepas gambar mereka dimuat naik ke Facebook rasmi terminal berkenaan. Situasi tersebut dirakam ketika operasi rondaan Polis Bantuan dijalankan di kawasan menunggu terminal.

Dalam rondaan sekitar jam 7.19 pagi, beberapa orang awam dilihat tidur dalam pelbagai posisi — ada yang membaringkan diri di atas lantai berjubin menggunakan beg atau jaket sebagai bantal, manakala sebahagian lagi tidur di atas kerusi menunggu dalam keadaan membongkok badan (posisiyang tidak sesuai dan selesa). Ada juga individu yang berbungkus dengan selimut tebal, kelihatan seolah-olah bermalam di terminal.

Keadaan ini bukan sahaja mencacatkan imej kebersihan dan ketertiban TBS sebagai pintu masuk utama ke Kuala Lumpur, malah turut mengganggu keselesaan pengguna lain termasuk pelancong asing.

Walau bagaimanapun, tindakan memuat naik gambar-gambar wajah individu yang sedang tidur secara terbuka di media sosial rasmi terminal turut menerima kritikan.

Ada netizen yang menegur bahawa walaupun tindakan tidur di kawasan umum tidak wajar, memaparkan wajah mereka tanpa penapisan dianggap melanggar etika serta menjejaskan maruah individu yang terlibat.

Sebahagian pengguna turut mencadangkan agar pihak pengurusan mempertimbangkan penyediaan ruang rehat sementara seperti kapsul tidur atau kabin kecil berbayar, bagi mengurangkan isu ini tanpa mengabaikan hak asasi pengguna.

View Original Article