Tular Halau Gajah Seperti Bercakap Dengan Manusia, Lelaki Kongsi Doa Yang Diamalkan [Video]

21 Apr 2025 • 10:08 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Sejak belakangan ini, ada sahaja video tular yang dikongsikan oleh beberapa pengguna tentang pengalaman mereka berjumpa gajah ketika berada di jalan raya.

Kebiasaannya, video yang tular adalah mengenai detik cemas sewaktu berhadapan dengan haiwan darat terbesar di dunia itu.

Namun sekitar minggu lepas, tular di media sosial video seorang lelaki yang menghalau gajah dengan bersahaja seolah-olah seperti bercakap dengan manusia.

Apa yang lebih menjadi perhatian, haiwan berkenaan seakan memahami bahasa dan akur dengan ‘arahan’ lelaki tersebut hingga gajah itu dilihat terus melangkah masuk ke dalam hutan.

Video yang dikongsikan oleh lelaki itu sendiri di TikTok nyata mendapat perhatian hingga ramai yang meluahkan rasa kagum dengan kehebatan lelaki berkenaan.

Malah, ada juga yang meminta dia untuk berkongsi tips atau ilmu untuk ‘menunduk’ haiwan berkenaan.

Lelaki Hanya Amal Bismillah, Zikir & Doa Nabi Sulaiman

Berkongsi kisah lanjut tentang kejadian itu, lelaki yang dikenali sebagai Mohamad Amir Faizal Mohd Zaki menjelaskan tiada tips khusus yang digunakan olehnya ketika menghalau gajah.

“Tiada ilmu khusus diguna (untuk halau gajah) melainkan hanya bacaan Bismillah, zikir dan doa Nabi Sulaiman,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Jelas Mohamad Amir, ketika kejadian pada 12 April lalu, dia sedang melakukan rondaan pemantauan keselamatan di Jalan Raya Timur-Barat antara Gerik-Jeli kira-kira jam 5 petang.

“Ketika melalui laluan berhampiran Empangan Pergau, saya melihat ada seekor gajah yang memasuki jalan raya dan menuju ke arah sebuah kereta.

“Saya cuma ‘arahkan’ gajah itu supaya masuk semula ke hutan dan gajah terbabit pun kembali ke tepi jalan.

“Perkara ini dilakukan demi memastikan keselamatan pengguna selain mahu memastikan kelancaran trafik di laluan berkenaan,” kongsinya.

Dah Lakukan Kerja Rondaan Sejak Tahun 2023, Bantu Pengguna Jalan Raya

Tambah lelaki berusia 47 tahun itu, dia yang merupakan sukarelawan Skuad Sungai Petani Response Team telah mengambil inisiatif untuk membuat rondaan pemantauan di lebuh raya tersebut bermula November 2023.

“Tujuan saya buat rondaan itu bagi membantu pengguna jalan yang mengalami kemalangan, tayar pancit, pokok tumbang atau apa sahaja yang memerlukan bantuan.

“Ia bagi menghulurkan bantuan awal kepada pengguna jalan raya memandangkan jarak lebuh raya berkenaan yang terletak di kawasan yang terpencil menyebabkan pasukan penyelamat mengambil masa hampir satu jam untuk sampai ke lokasi sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Tempuh Perjalanan 400 KM, Amalkan Baca Bismillah Sepanjang Perjalanan

Kongsinya lagi, dia perlu menempuh perjalanan kira-kira 400 kilometer (km) untuk melakukan rondaan pada masa terluang dari rumahnya yang terletak di Sungai Petani, Kedah hanya dengan menunggang motosikal.

“Kadang-kadang ada juga saya bawa isteri serta anak bersama dan kami akan singgah beriadah di Banjaran Titiwangsa. Selain membantu orang lain, saya boleh beriadah bersama keluarga.

“Sepanjang perjalanan membuat rondaan, saya sering amalkan membaca Bismillah dan berzikir. Apabila berdepan haiwan pula, saya akan baca doa Nabi Sulaiman,” ujarnya.

Pernah Terjumpa Haiwan Lain Selain Gajah, Turut Titip Nasihat Kepada Pengguna

Lebih mengejutkan, dia bukan hanya terserempak dengan gajah, malah pernah terjumpa haiwan lain seperti harimau di lebuh raya tersebut.

Pada masa yang sama, Mohamad Amir turut menitipkan pesanan kepada orang ramai agar tidak berhenti mengambil gambar ketika berjumpa dengan haiwan liar itu.

“Apabila nampak gajah, jangan berhenti untuk ambil gambar kerana haiwan itu tidak suka. Selain gajah, saya sendiri pernah terserempak dengan harimau di lebuh raya itu.

“Pengguna jalan raya juga diminta tidak berhenti di laluan yang sunyi dan memberikan makanan kepada haiwan. Apabila nampak haiwan, jangan perlahankan kenderaan dan teruskan perjalanan,” jelasnya lagi.

Terdahulu, video berdurasi 2 minit 11 saat yang dikongsikan oleh Mohamad Amir tular di media sosial dek kerana aksinya yang bersahaja menghalau haiwan berkenaan.

Manakan tidak, gayanya seolah-olah seperti seorang bapa memberi arahan kepada seorang anak.

Disebabkan videonya yang tular itu, dia turut berkongsikan video tentang amalan biasa yang sering digunakan ketika terserempak haiwan liar.

@mohdamirfaizal

RONDAAN PEMANTAUAN KESELAMATAN DI JALAN GERIK JELI pada 12. 04.2025…

♬ In the Lifetime – Melodia Simples

Source: