Tular Isu Stokin Ada Cetakan Kalimah Allah, Pihak KK Super Mart Mohon Maaf & Jelaskan Perkara Sebenar

17 Mar 2024 • 10:42 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Baru-baru ini, tular di media sosial tentang isu penjualan stokin yang mempunyai cetakan kalimah Allah oleh salah satu cawangan kedai terkemuka iaitu KK Super Mart.

Isu penjualan stokin berkalimah Allah itu telah menjadi perhatian ramai dan tak kurang juga telah dikecam orang ramai khususnya orang Islam di negara ini kerana dilihat seperti tidak sensitif.

Setelah tular dua jam kemudian, pihak KK Mart menerusi Facebook kemudiannya telah menarik balik penjualan stokin tersebut dan pihak mereka juga meminta maaf di atas perkara tersebut kerana stoking tersebut merupakan produk consignment daripada pihak vendor yang menjual barang mereka dengan sistem sewaan tempat dalam premis kedai serbaneka terbabit.

image is not available

Jadi, pengurusan produk stoking berkenaan di kedai serbaneka itu diuruskan sepenuhnya oleh pembekal dari segi pemeriksaan keseluruhan terhadap setiap barangan.

Pihak KK Super Mart semalam telah mengadakan satu sidang media di Menara KK untuk memohon maaf sekali lagi secara rasmi dan menjelaskan perkara sebenar.

image is not available

Memetik laporan Malaysia Gazette, pengasas dan Pengerusi Eksekutif syarikat KK Mart iaitu Datuk Seri Dr KK Chai memohon maaf dan sangat kesal dengan isu yang berlaku.

Beliau berkata syarikat mereka sepanjang 23 tahun dalam bidang perniagaan tidak pernah melakukan kesilapan yang menyentuh sensitiviti seperti itu.

Ini kerana menurutnya lagi, beliau sudah arif tentang sensitiviti setiap masyarakat di Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Difahamkan, pihak KK Mart juga telah memberi kerjasama kepada pihak polis dan mahu bertanggungjawab dengan apa yang berlaku kerana mereka telah membuat laporan polis pada Khamis lalu.

Mereka juga telah menghantar surat yang menjelaskan perkara sebenar kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Dalam Negeri serta kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Pembekal stokin tersebut telah diberi tempat dalam kedai serbaneka kami untuk menjual produk mereka dan pengurusan tentang produk berkenaan telah diuruskan oleh pihak mereka tanpa pemantauan dari pekerja kami,” jelas KK Chai.

Datuk KK Chai turut mengakui bahawa terdapat kelompongan dalam sistem mereka tersebut kerana telah menyerahkan pengurusan tentang produk itu sepenuhnya kepada pembekal, jadi selepas ini, pihak mereka akan mengubah SOP pengurusan produk sebegitu agar lebih baik.

Beliau juga tidak dapat menahan sebak apabila memohon maaf ketika sidang media terbabit dan beliau turut merayu kepada netizen agar tidak memboikot KK Mart.

Pihak mereka turut mengakui kesalahan dan memohon maaf kepada semua umat Islam di negara ini kerana insiden tersebut bukanlah perkara yang disengajakan.

Untuk pengetahuan semua, stokin yang ada cetakan kalimah Allah itu sebenarnya telah diimport dari China dan ada 1,200 pasang stoking dalam setiap guni dengan setiap corak yang berbeza, jadi pihak yang menjual stokin itu di KK Mart mengakui telah terlepas pandang dengan tidak membuat pemeriksaan yang rapi terhadap setiap pasangan stokin.

image is not available

Perkara itu telah dijelaskan oleh pemilik syarikat pembekal Xin Jian Chang Sdn Bhd, Soh Chin Huat dalam sidang media yang sama.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.