Tular: Jiran ‘Influencer’ Bercakap Kuat Ketika Live Hingga Ganggu Ketenteraman Penduduk

13 Oct 2025 • 11:18 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Tular di media sosial perkongsian seorang pengguna Threads, @symmshd, yang meluahkan rasa tertekan dengan sikap jirannya yang juga seorang influencer didakwa sering membuat siaran langsung (live) di luar rumah sambil bercakap kuat tanpa menghiraukan jiran sekeliling.

Rutin Live Hampir Setiap Hari

Menurutnya, rutin live tersebut berlaku hampir setiap hari, pagi, tengah hari, petang hingga ke waktu malam sekitar pukul 12.00 tengah malam. Lebih membimbangkan, teguran daripada jiran lain langsung tidak diendahkan malah dikatakan dibalas dengan kemarahan.

“Ya Allah, kau berikanlah aku kekuatan. Dah ramai tegur tapi tak makan saman. Dah call polis, tapi polis kata lepas pukul 12 malam baru dikira salah dari segi undang-undang,” katanya.

Tambahnya lagi, tindakan tersebut jelas mengganggu ketenteraman penduduk terutama keluarga yang mempunyai anak kecil atau warga emas.

Netizen Turut Simpati dan Mahu Bantu Report

Di ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa simpati dengan situasi yang dihadapi pengguna tersebut. Ada yang berseloroh meminta nama akaun TikTok individu berkenaan supaya mereka boleh sama-sama membuat laporan terhadap siaran langsung yang mengganggu itu.

“Apa user dia? Kasi DM sis. Mari berjemaah kita report live dia,” tulis seorang netizen, manakala seorang lagi menambah, “Kalau dah dapat akaun dia, update ye sis. Nak kacau dia juga nanti.”

Enggan Dedah Identiti Influencer Terbabit

Tidak lama kemudian, pemilik hantaran itu memaklumkan bahawa dia sudah berjaya menemui akaun TikTok individu terbabit. Namun, dia memilih untuk tidak mendedahkan butiran lanjut kerana bimbang isu tersebut menjadi lebih besar.

“Alamak, takut nak expose. Area Selangor je. Kawasan ni memang ramai influencer duduk,” katanya.

Adab Berjiran dan Had Mencari Rezeki di Media Sosial

Kejadian ini sekali lagi membuka perbincangan mengenai batas mencari rezeki di media sosial, terutama apabila melibatkan ketenteraman awam dan adab berjiran.

Apa pun, sikap bertimbang rasa sesama jiran perlu dijaga walau apa jua pekerjaan sekalipun. Mencari rezeki itu tidak salah, namun biarlah dengan cara yang tidak mengganggu orang lain, kerana harmoni kejiranan itu juga satu bentuk rezeki yang perlu dihargai. – The Malaysian Update

The post Tular: Jiran ‘Influencer’ Bercakap Kuat Ketika Live Hingga Ganggu Ketenteraman Penduduk appeared first on The Malaysian Update.

View Original Article