
KOTA KINABALU - Satu kenyataan tular di media sosial sejak Rabu berhubung pengisytiharan bencana di daerah Papar dipercayai susulan keadaan kemarau berpanjangan dan kekurangan bekalan air yang kritikal di daerah itu.
Menurut kenyataan yang tular itu, tindakan telah dan sedang diambil oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Papar untuk menangani krisis bekalan air yang berlaku.
"Pengagihan bekalan air yang dibuat secara berjadual turut mendapatkan bantuan lori tangki air daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Ranau, Majlis Daerah Beaufort, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu dan selebihnya disewa daripada pihak swasta.
"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang bermesyuarat pada 8 Mac 2024 bersetuju mengumumkan bencana kemarau di daerah Papar, selanjutnya pengisytiharan bencana telah dibuat oleh Pegawai Daerah pada hari ini 13 Mac 2024 jam 10.30 pagi," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, JANS Papar akan memberi keutamaan kepada hospital, rumah-rumah ibadat, rumah warga tua dan sekolah-sekolah.
"Majlis Daerah Papar memberi keutamaan kepada kawasan-kawasan perumahan manakala Pejabat Parlimen Papar di kawasan perkampungan.
"Bagaimanapun, ini tidak bermakna JANS Papar dan Majlis Daerah Papar tidak membekalkan air ke kawasan penduduk yang terkesan," katanya.
Usaha Sinar Harian mendapatkan pengesahan berhubung kenyataan tersebut termasuk mendapatkan maklum balas daripada Pegawai Daerah Papar belum berhasil setakat ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali ketika dihubungi Sinar Harian menyokong penuh sekiranya Papar diisytiharkan sebagai kawasan bencana.
"Memang wajar. Siapa mahu pertikai sila datang Papar bantu kami angkut air untuk rakyat," katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp pada Rabu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau, Papar, tidak dapat beroperasi membekalkan air sejak lebih daripada 20 hari, menyebabkan lebih 50,000 penduduk di Papar terjejas.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28


