Tular Lelaki Non-Muslim Ditampar Kerana Makan Di Bulan Ramadan, Ini Respon Menteri Perpaduan

LocalPolitics
17 Mar 2025 • 12:57 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Semalam (16 Mac), kecoh di media sosial insiden seorang lelaki bukan Muslim ditampar oleh seorang warga emas hanya kerana makan ketika di bulan Ramadan.

Dalam kejadian yang berlaku di Angsana Mall, Johor Bahru itu, mangsa, seorang lelaki berbangsa Cina mendakwa telah berkali-kali menjelaskan bahawa dia bukan beragama Islam, namun warga emas berkenaan enggan mempercayainya.

Malah, warga emas itu siap meminta kad pengenalan (IC) untuk membuat pengesahan sebelum bertindak menampar mangsa yang enggan memberikan IC.

Namun, insiden berkenaan sempat dileraikan oleh ahli keluarga dipercayai anak warga emas tersebut yang kemudiannya memohon maaf kepada mangsa.

Hantaran yang dikongsikan oleh mangsa sendiri nyata mendapat perhatian hingga ramai yang mengecam tindakan warga emas terbabit.

Insiden Provokasi Tidak Melambangkan Perpaduan & Keharmonian Negara – Menteri Perpaduan

Terbaharu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang tampil memberi respon berhubung kejadian berkenaan.

Jelasnya, insiden tersebut adalah satu provokasi yang tidak melambangkan perpaduan dan keharmonian negara yang berbilang kaum.

“Tindakan sedemikian harus dihentikan serta-merta dan tidak dibenarkan berkembang di negara yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara,” tulisnya.

Kutuk Sebarang Bentuk Keganasan & Diskriminasi

Malah, Aaron yang juga merupakan Ahli Parlimen Kanowit mengutuk sekerasnya tindakan sedemikian yang dianggap boleh menjejaskan keharmonian sesama kaum.

“Saya berharap agar semua rakyat Malaysia beradab dalam berinteraksi antara rakyat Malaysia, yang seharusnya sentiasa saling menghormati budaya dan mengamalkan nilai Faham, Hormat & Terima,” ciapnya lagi.

Isu Perpaduan Tidak Boleh Dipandang Remeh

Tegas Aaron lagi, isu perpaduan adalah satu perkara yang tidak boleh dipandang remeh memandangkan ia boleh meruntuhkan keharmonian sebuah negara.

“Kita tidak boleh membiarkan sebarang insiden yang boleh meruntuhkan keharmonian rakyat Malaysia.

“Negara ini hanya akan maju jika kita bersatu, saling menghormati, dan hidup dalam keadaan aman tanpa sebarang bentuk ketegangan kaum atau agama,” kongsinya lagi.

Mangsa Sudah Buat Laporan Polis

Pada masa yang sama, Aaron turut memaklumkan mangsa yang dikenali sebagai Elijah telahpun membuat laporan polis di Balai Polis, Tampoi, Johor dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Saya berharap agar semua pihak memberi kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kepada PDRM untuk menjalankan siasatan,” jelasnya lagi.

Source: