
Tular Patahkan “Wiper” Belakang Kereta, Lelaki Warga Asing Ditahan
Polis sudah pun menahan seorang lelaki yang perbuatannya mematahkan pengelap cermin belakang beberapa buah kereta menjadi tular di media sosial sejak semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, lelaki warga asing berumur 25 tahun itu ditahan oleh Unit Peronda Bermotosikal (URB).
Siasatan awal yang dibuat oleh pihaknya mendapati bahawa kejadian berkenaan berlaku berhampiran terminal bas Batu Pahat, kira-kira 3.30 petang pada 20 Oktober lepas.
Patahkan wiper kereta, warga asing ditahan
“Polis turut menemui sebilah pisau lipat dalam beg sandang dalam milikan suspek semasa proses tangkapan dan pemeriksaan dilakukan,” katanya.
Tambah Shahrulanuar, pihaknya menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Kes tersebut juga disiasat dibawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana membawa senjata berbahaya di tempat awam.
“Selain itu, kes turut disiasat dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa dokumen yang sah,” katanya lagi.
Terdahulu, rakaman perbuatan suspek yang didakwa melakukan khianat ke atas beberapa kereta orang awam itu menjadi tular di TikTok.
Tindakan lelaki tersebut mendatangkan keresahan warga maya yang meminta pihak polis bertindak segera menahan pelaku.
The post Tular Patahkan “Wiper” Belakang Kereta, Lelaki Warga Asing Ditahan appeared first on Siakap Keli.


