Tular Pempengaruh Dakwa Dapat Pinjaman Pendidikan Menerusi Kuota Khas Kakitangan, Ini Respon MARA

LocalPolitics
9 May 2025 • 10:18 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Beberapa hari yang lalu, tular di media sosial dakwaan seorang pempengaruh yang juga bekas isteri pelakon lelaki tanah air tentang pinjaman pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Menerusi rakaman siaran langsung yang tular, influencer berkenaan yang sedang menyambung pengajian mendakwa pinjaman MARA yang diterimanya adalah berdasarkan kuota khas kakitangan agensi tersebut.

Dia berkata demikian ketika membalas kenyataan netizen yang mendakwa pinjaman pascasiswazah hanyalah untuk mereka yang menyambung pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menerusi video tular itu, pempengaruh berkenaan turut meminta agar orang ramai menyemak terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan sebegitu.

Malah, dia mendakwa anak kakitangan agensi tersebut mempunyai keistimewaan dalam membuat permohonan mengikut saluran mereka tersendiri.

“Untuk pengetahuan semua, orang yang anak MARA semua ni, kami bukan mohon online, kami ada kertas permohonan manual.

“Kami ada bahagian lain untuk mohon loan (pinjaman) MARA ke apa ke,” katanya lagi.

Kenyataan pempengaruh itu nyata menjadi perhatian ramai hingga ada yang mempersoal dan meminta kepastian dari MARA tentang dakwaan tersebut.

Pinjaman Diberi Berdasarkan Kelayakan Akademik – MARA

Terbaharu, MARA menerusi satu kenyataan di Instagram rasmi milik mereka menafikan dakwaan yang tular itu.

Tegas MARA, pinjaman yang pendidikan yang ditawarkan adalah berdasarkan kepada kelayakan akademik bukan kerana kuota khas kakitangan.

“Berikutan tersebarnya dakwaan kuota khas pinjaman Pelajaran anak kakitangan MARA di media sosial, pihak MARA ingin menegaskan bahawa kelayakan pinjaman adalah berdasarkan syarat akademik yang ditetapkan.

“Selain itu, permohonan pinjaman adalah berdasarkan sistem permohonan pinjaman pelajaran MARA sahaja,” tulis mereka.

MARA Mohon Orang Ramai Tidak Percaya Dengan Kenyataan Tidak Tepat

Pada masa yang sama, agensi berkenaan turut menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan sebarang kenyataan atau maklumat tidak tepat yang dikeluarkan mana-mana pihak mengenai MARA.

“Pihak MARA menghargai usaha orang awam yang membuat semakan dan mendapatkan kepastian atau pengesahan daripada pihak MARA terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang ulasan atau komen dalam mana-mana platform media sosial,” katanya.