Tular Petugas Kesihatan Di Sibu Dipaksa Kerja Setiap Hari, Netizen Luah Prihatin

6 Dec 2024 • 11:51 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Luahan Pegawai Perubatan Dari Sibu

Tular Petugas Kesihatan Di Sibu Dipaksa Kerja Setiap Hari, Netizen Luah Prihatin. Seorang Pegawai Perubatan di sebuah hospital di daerah Sibu meluahkan rasa tertekan akibat dipaksa bekerja setiap hari, termasuk hujung minggu dan cuti umum, tanpa peluang untuk berehat.

Dalam satu luahan terbuka, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap budaya kerja yang membebankan dan menyeru agar pihak berwajib mengambil tindakan segera.

image is not available
Gambar sekadar hiasan. Sumber: Pexels

Budaya Kerja Tanpa Rehat Di Hospital

Pegawai perubatan tersebut mendakwa situasi kerja ini berbeza berbanding pengalaman beliau sebelum ini ketika bertugas di Semenanjung Malaysia. Di Semenanjung, doktor hanya bekerja pada hari biasa kecuali ketika bertugas secara on-call pada hujung minggu atau cuti umum. Namun, di hospital tempat beliau kini bekerja, semua doktor perlu hadir setiap hari, termasuk hari cuti, tanpa pengecualian.

Beliau turut menegaskan bahawa meskipun terdapat bayaran tuntutan untuk on-call pasif, beban kerja yang berlebihan tetap memberi kesan besar terhadap mental dan fizikal.

“Siapa suka dipaksa bekerja berjam-jam tanpa rehat? Ini bukan sahaja melelahkan, malah meningkatkan risiko kesilapan perubatan yang boleh membawa komplikasi medicolegal,” katanya.

Beliau menyatakan kebimbangannya terhadap kesan negatif tekanan kerja yang berlebihan. Hal ini turut mengingatkan beliau kepada kes mendiang Dr. Tay Tien Yaa, seorang pegawai perubatan yang meninggal dunia dan didakwa bekerja terlalu banyak.

“Saya tak suka rasa seperti nak bunuh diri setiap kali pergi kerja,” luahnya dengan penuh kejujuran.

Pegawai ini menyeru agar sistem kerja yang lebih adil dilaksanakan, termasuk memberikan cuti hujung minggu secara berkala kepada doktor. Beliau menekankan keperluan untuk memastikan keseimbangan kerja-kehidupan serta mewujudkan suasana kerja yang mampan dan selamat.

“Saya mohon agar budaya kerja ini dikaji semula dan sistem giliran yang adil diperkenalkan supaya semua doktor dapat rehat yang mencukupi,” ujarnya.

image is not available
Tular Petugas Kesihatan Di Sibu Dipaksa Kerja Setiap Hari, Netizen Luah Prihatin

Dapatkan Bantuan Jika Perlukan Sokongan Emosi

Isu kesihatan mental dalam kalangan pekerja kesihatan perlu diberi perhatian serius. Jika anda atau seseorang yang anda kenali sedang berasa tertekan atau memerlukan sokongan emosi, sila hubungi talian bantuan berikut:

  • Befrienders Kuching: 082-242 800 (6.30pm-9.30pm setiap hari)
  • Talian Kasih: 15999 (24 jam setiap hari)
  • Grace Centre: 082-256 411 (Isnin-Jumaat, 7.30pm-9pm)
  • Kuching Bodhi Counselling Centre: 082-256 428/429 (Isnin & Khamis, 7pm-9pm; Sabtu, 9am-11am)

Baca juga artikel berkaitan di bawah: