Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pihak Kesultanan Langkat mengecam sekeras-kerasnya tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang mencetuskan provokasi dan penghinaan dengan menyebarkan imej manipulasi Kecerdasan Buatan (AI) yang menghina Institusi Diraja Malaysia di platform media sosial baru-baru ini.
Kesultanan Langkat Sifatkan Foto AI Hina Sultan Ibrahim Rosakkan Keharmonian Saudara Serumpun
Jelasnya, perbuatan sedemikian merupakan satu bentuk sabotaj berniat jahat yang secara terang-terangan cuba merosakkan keharmonian dan hubungan persaudaraan serumpun antara rakyat serta kerajaan Malaysia dan Republik Indonesia yang sudah lama terjalin erat.
“Pihak Kesultanan Langkat memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar menghentikan serta-merta sebarang cubaan menyemai kebencian, perpecahan dan ketegangan rentas sempadan menggunakan sentimen chauvinisme sempit yang mencemari nama baik bangsa serumpun,” memetik kenyataan Kesultanan Langkat di Facebook semalam (4 September).
Kesultanan Langkat Gesa Ambil Tindakan Demi Tegakkan Keadilan & Jaga Hubungan Diplomatik Malaysia-Indonesia
Dalam pada itu, Kesultanan Langkat yang dahulunya terkenal sebagai kerajaan Melayu lama di Sumatera turut menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat dan menularkan foto berunsur provokasi itu.
“Kesultanan Langkat turut menggesa pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan undang-undang Republik Indonesia untuk mengambil tindakan tegas, segera dan tuntas di bawah perundangan jenayah siber terhadap pemilik akaun terbabit demi menegakkan keadilan serta memelihara keutuhan hubungan diplomatik kedua-dua negara,” memetik kenyataan itu lagi.
Lelaki Warga Indonesia Sunting Gambar Hina Sultan Ibrahim
Sebelum ini, tular di laman Threads menunjukkan seorang lelaki warga Indonesia telah menyunting gambar seorang individu berpakaian jersey skuad bola sepak skuad Garuda sedang memijak Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menerusi foto jelik itu, kelihatan Agong sedang melutut.
Difahamkan, pengguna Threads tersebut dengan sengaja mencetuskan kemarahan netizen Malaysia selepas Indonesia mara ke pusingan akhir FIFA ASEAN Cup 2026, menewaskan Malaysia.
Terdahulu, pasukan Garuda menamatkan saingan Kumpulan A di tangga teratas selepas mengumpul tujuh mata apabila merekodkan 11 gol berbanding sembilan gol yang dimiliki Harimau Malaya.

Bukan itu sahaja, menerusi semakan kami, terdapat beberapa akaun lain di Threads dan TikTok yang menjana foto AI menunjukkan penghinaan kepada Sultan Ibrahim.
Hantaran-hantaran gambar berkenaan kemudiannya telah mengundang rasa berang di kalangan netizen Malaysia.
Baca Artikel Berkaitan: Piala ASEAN FIFA: Lelaki Warga Indonesia Dikecam Edit Gambar Pijak Agong
Ada Individu Sunting Video Wanita Menari Ketika Tun M Sedang Bersedih
Selain itu, ada juga individu yang bersikap biadab dengan menyunting video bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memaparkan ada wanita sedang menari di sebelahnya sewaktu sedang duduk sebelah jenazah isterinya, Allahyarhamah Tun Dr Hasmah.

Malah lebih parah lagi apabila ada yang sanggup meletakkan foto kepala khinzir pada wajah ‘ibu negara’ itu sekaligus mencerminkan sifat tidak bertamadun serta tidak sensitif kepada arwah dan keluarga.

Susulan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebelum ini memaklumkan pihaknya meneliti kandungan di media sosial yang menggunakan AI untuk memanipulasi rakaman Tun M ketika berduka atas pemergian isterinya.
Menerusi semakan kami, hantaran video itu telah pun dipadam dan diturunkan oleh pihak MCMC.
Baca Artikel Berkaitan: “Biadab!” – Ramai Minta Pihak Berkuasa Ambil Tindakan Terhadap Individu Sunting Video Wanita Menari Ketika Tun M Sedang Bersedih





