UMNO gesa pihak berkuasa siasat manipulasi politik AI

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 3:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: UMNO gesa pihak berkuasa siasat manipulasi politik AI
Azalina - Foto: Bernama

SHAH ALAM – UMNO menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pendedahan berhubung penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang didakwa digunakan untuk mempengaruhi perbincangan politik di Malaysia.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, walaupun belum terdapat bukti bahawa operasi tersebut berjaya mempengaruhi keputusan pilihan raya atau mengubah pendirian pengundi, perkara itu tetap perlu diberi perhatian serius.

Menurut beliau, pendedahan oleh syarikat pembangunan AI, Anthropic, mengenai kewujudan kira-kira 1,000 akaun palsu di platform X, laman berita rekaan dan kandungan tuduhan palsu menimbulkan persoalan mengenai dalang sebenar operasi berkenaan.

“Rakyat juga perlu lebih berhati-hati dengan apa yang mereka lihat di media sosial. Hari ini, sesiapa sahaja boleh mewujudkan halaman Facebook yang kelihatan seperti portal berita atau laman maklumat.

“Berita sebenar boleh dicampurkan dengan cerita separuh benar, tajuk mengelirukan atau fakta yang dikeluarkan daripada konteks sehingga akhirnya membentuk persepsi yang salah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti laporan terbaharu yang diterbitkan Anthropic berkaitan penyalahgunaan model AI Claude.

Laporan bertajuk “Detecting and Countering Misuse of AI: September 2026” itu antara lain mendedahkan pelbagai cubaan penyalahgunaan teknologi AI bagi tujuan operasi siber serta kempen mempengaruhi persepsi awam.

Antara dakwaan yang dibangkitkan dalam laporan tersebut ialah operasi manipulasi pilihan raya yang didakwa menyasarkan Malaysia dan dikaitkan dengan sebuah syarikat teknologi dari Turkiye, BBS Bilisim Teknolojileri.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, UMNO juga tidak terlepas daripada menjadi sasaran serangan persepsi menerusi media sosial, termasuk penyebaran tuduhan yang berulang kali di ruangan komen.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa UMNO tidak menganggap semua komen negatif itu datang daripada akaun automatik atau bot.

“Rakyat mempunyai hak untuk mengkritik UMNO, kerajaan atau mana-mana pemimpin. Kritikan yang berasaskan fakta mesti dihormati,” katanya.

Beliau berkata, UMNO mengambil maklum penjelasan yang diberikan oleh MCMC dan berharap sebarang tindakan terhadap manipulasi digital dilaksanakan secara adil tanpa mengira latar belakang politik pihak yang terlibat.

“Jika penyokong parti pemerintah melanggar undang-undang, ambil tindakan. Jika penyokong parti pembangkang melanggar undang-undang, ambil tindakan.

“Undang-undang tidak boleh mempunyai satu ukuran untuk kawan dan satu lagi ukuran untuk lawan,” katanya.

Azalina turut menegaskan bahawa ketelusan dan penguatkuasaan yang konsisten amat penting bagi memastikan ruang digital negara kekal selamat, berintegriti dan bebas daripada manipulasi yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap proses demokrasi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved