Tular surat MBIP guna Bahasa Cina: Kerajaan Johor tegaskan kejadian pada 2018 ketika pentadbiran PH

LocalPolitics
10 Jun 2026 • 10:49 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tular surat MBIP guna Bahasa Cina: Kerajaan Johor tegaskan kejadian pada 2018 ketika pentadbiran PH
Mohd Jafni

JOHOR BAHRU – Isu tular berkenaan surat rasmi Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang didakwa menggunakan Bahasa Cina bukan berlaku di bawah pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kejadian berkenaan sebenarnya berlaku pada tahun 2018 ketika Johor ditadbir oleh Pakatan Harapan.

"Justeru, cubaan untuk menggambarkan seolah-olah isu tersebut berlaku di bawah pentadbiran kerajaan negeri Johor hari ini pimpinan Dato Onn Hafiz Ghazi adalah tidak jujur dan mengelirukan.

"Fakta yang jelas menunjukkan kejadian tersebut berlaku pada tahun 2018 semasa Johor ditadbir oleh Pakatan Harapan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri kekal komited untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan pentadbiran selaras dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar serta peruntukan undang-undang sedia ada.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan semula maklumat lama tanpa konteks yang jelas sehingga boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Kerajaan Negeri Johor menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan semua agensi kerajaan mematuhi dasar penggunaan Bahasa Melayu serta menjaga keharmonian pentadbiran negeri.