JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas dipercayai ditanduk kerbau dalam dua kejadian berasingan ketika ibadah korban di kawasan Ulu Tiram, pada hari pertama Aidiladha.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira jam 10 pagi di Kampung Tenang, Ulu Tiram melibatkan lelaki tempatan berusia 45 tahun.
Menurutnya, mangsa dipercayai ditanduk seekor kerbau untuk ibadah korban sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bagi mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11 malam ketika menerima rawatan di hospital.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan saluran darah (vaskular) kaki kiri dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, satu lagi kejadian turut berlaku kira-kira jam 2 petang di Batu 19, Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram melibatkan lelaki tempatan berusia 45 tahun.
Katanya, mangsa mengalami patah tulang rusuk kiri selepas seekor kerbau yang digunakan untuk ibadah korban tiba-tiba bertindak liar dan menanduknya.
“Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru dan setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan kejadian tersebut,” katanya.
Menurut beliau, pihak polis turut mengesan satu hantaran tular di Facebook berkaitan kejadian seorang lelaki ditanduk kerbau ketika ibadah korban di Ulu Tiram.
Tambahnya, kedua-dua kejadian telah dimaklumkan kepada Jabatan Veterinar Negeri Johor untuk tindakan lanjut.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kes ini,” katanya.
