Tular Tampal Tulisan Hebrew, Polis Dedah Kenderaan Milik Lelaki Di Gemencheh

LocalPolitics
8 Oct 2025 • 10:27 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Sebelum ini tular video di TikTok, memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang mempunyai pelekat tertera tulisan dalan bahasa Hebrew.

Dalam video tersebut kelihatan tulisan yang ditampal pada kenderaan tersebut bernombor plat negeri Melaka.

Menerusi terjemahan daripada Artificial Intelligence (AI) iaitu ChatGPT tulisan tersebut membawa maksud ‘Malaysia rumah kami’ atau ‘Malaysia adalah rumah kami’.

Perkara itu secara tidak langsung telah menarik perhatian ramai yang mempersoal tindakan pemilik kenderaan tersebut menampal tulisan berkenaan sehingga ada yang meminta pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.

Polis dedah kenderaan 4×4 milik lelaki di Gemencheh, Negeri Sembilan

Terbaharu polis memaklumkan kenderaan yang memaparkan pelekat bertulisan bahasa rasmi Israel, Hebrew tersebut didaftarkan atas nama seorang lelaki yang beralamat di Gemencheh, Negeri Sembilan.

Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi yang mengesahkan mengenai perkara itu, semakan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan berhubungan video tular tersebut di Balai Polis Merlimau jam 3.32 petang pada 7 Oktober.

Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan & Seksyen 322 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

Jelasnya laporan dilakukan oleh pegawai khas agama, Hairul Amin Madon kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan hasil siasatan dijalankan mendapati, pelekat pada pacuan empat roda jenis Isuzu seperti yang dimuat naik di Threads adalah pelekat bertulisan Hebrew (Bahasa Ibrani).

“Siasatan awal mendapati tulisan tersebut membawa maksud ‘Malaysia adalah rumah kita / Malaysia di tangan kami’,” dan kenderaan didaftarkan atas nama seorang lelaki yang beralamat di Gemencheh, Negeri Sembilan.

“Susulan itu, polis membuka siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam,” ujarnya.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekiranya sabit kesalahan.

“Kes juga turut disiasat mengikut Seksyen 322 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 kerana kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan telekomunikasi yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.”

Pihak polis dalam masa sama turut meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan penyebaran video tersebut dan siasatan secara telus akan dijalankan oleh pihak polis demi memastikan keselamatan serta keharmonian masyarakat sentiasa terjamin.