Tular video aksi terkinja-kinja, Terengganu terima teguran program didakwa langgar syarat

LocalPolitics
25 May 2026 • 2:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tular video aksi terkinja-kinja, Terengganu terima teguran program didakwa langgar syarat
Tangkap layar video tular memaparkan program yang diadakan di Kupa Terengganu baru-baru ini. Gambar kecil: Muhammad Khalil

​KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri Terengganu sedia menerima dengan terbuka segala teguran, pandangan dan aduan orang ramai susulan isu tular berkaitan penganjuran sebuah program yang didakwa melanggar garis panduan serta syarat ditetapkan.

​Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pandangan masyarakat bukan sesuatu yang harus diketepikan, sebaliknya menjadi ruang untuk memperbaiki pelaksanaan dan memperkukuh penguatkuasaan.

​Menurut beliau, susulan aduan yang diterima, siasatan telah pun dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tindakan kompaun dikeluarkan terhadap penganjur atas kesalahan yang dikenal pasti.

​"Tindakan ini bukan dibuat secara terburu-buru dan bukan juga bertujuan menghukum semata-mata. Ia adalah langkah pembetulan dan pendidikan supaya perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.

"Kerajaan Negeri sentiasa terbuka terhadap penganjuran program yang memberi manfaat kepada rakyat dan merancakkan ekonomi, namun keterbukaan itu tetap mempunyai garisnya," katanya dalam kenyataan di sini.

Muhammad Khalil berkata, setiap kelulusan yang diberikan datang bersama tanggungjawab untuk mematuhi syarat termasuk aspek keselamatan, ketenteraman awam, sensitiviti masyarakat serta agama.

​Susulan itu, katanya, kerajaan negeri menerusi portfolio Pemerkasaan Syariah bersama PBT akan mempertingkatkan aspek pemantauan dan penguatkuasaan, khususnya melibatkan kelulusan lesen hiburan, perhimpunan awam dan aktiviti berskala besar.

​Sebelum ini, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengesahkan telah mengeluarkan kompaun terhadap penganjur sebuah program hiburan di sini selepas didapati melanggar syarat lesen di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002.

​Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah ketika dihubungi turut mengesahkan perkara tersebut.

​Sementara itu, Datuk Bandar MBKT, Lizan Che Mat berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya meneliti penganjuran program berkenaan, termasuk susulan tular video memaparkan aksi terkinja-kinja yang mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai.

​Beliau menjelaskan, mana-mana pemegang lesen yang melanggar syarat boleh denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali di bawah subseksyen 11(2) enakmen berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved