
Tular di media sosial satu video pasangan muda melakukan aksi tidak senonoh di dalam sebuah kereta yang dirakam oleh seorang individu. Susulan video tersebut, pihak polis telah menahan kedua-dua individu terbabit semalam.
Memetik sumber Berita Harian, siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 29 Mac lalu sekitar pukul 3.03 petang di tempat letak kenderaan Taman Kota Masai, Pasir Gudang.
“Pihak polis telah mengesan satu video tular dimuat naik melalui media sosial berdurasi 23 saat berkait rakaman video perbuatan pasangan berkelakuan melanggar kesopanan di tempat awam,” ujar Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak.
Pelaku berusia 22 tahun dan 17 tahun
Menurut kenyataan polis, penahanan dibuat melibatkan seorang lelaki berusia 22 tahun dan seorang gadis berusia 17 tahun.
Semakan dibuat mendapati kedua-dua individu merupakan warganegara tempatan dan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
Polis juga turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Axia berwarna merah dan sehelai t-shirt berwarna merah dan putih.
Jelasnya lagi, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh dua tahun.
Polis juga mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan perkara yang melanggar norma kehidupan dan undang-undang negara.
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

