
Tindakan seorang kanak-kanak perempuan yang mencalarkan salah sebuah kereta penghuni flat dan membuang penyepit milik jiran telah mendapat kecaman orang ramai selepas tular di media sosial.
Akibat video tular itu, nenek kepada kanak-kanak berkenaan tampil memohon maaf dan meminta orang ramai tidak mengecam lagi cucunya.
Nenek yang merupakan seorang wanita mualaf berusia 57 tahun itu berkata, cucunya mungkin kesunyian dan tertekan dengan permasalahan keluarga hingga berbuat demikian, lapor Harian Metro.
@wanabcvcll7 Kejadian di lot Kawasan Parking Kereta Blok 52 Taman Cendana Pasir Gudang. Kredit Persatuan Bangsa Johor
Menurutnya, perbuatan yang tidak senangi orang ramai itu adalah tabiat baharu cucunya.
Dia menjelaskan cucunya sebelum ini seorang kanak-kanak yang riang dan lincah serta tidak berdepan dengan masalah pembelajaran. Namun, sejak bapanya terpaksa berjauhan dengan keluarga, kanak-kanak itu suka mendiamkan diri dan bersendirian.
“Kehidupannya tidak sama seperti kanak-kanak lain kerana sejak kecil bapanya sudah berpisah dengan ibunya dan terus terputus hubungan.
“Namun sejak akhir tahun lalu saya mengalami darah tinggi selain sakit jantung, saya tidak mampu membawanya ke mana-mana,” katanya.
“Kami bukan orang senang”
Dia juga menyatakan cucunya seorang yang rajin membantu dan mengemas rumah. Dia mengakui mereka bukan orang senang dan menerima bantuan am daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejumlah RM300 sebulan.
“Saya berharap dapat memberi keselesaan kepadanya supaya dia dapat meneruskan persekolahan seperti biasa dan menjadi insan berguna pada masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, dia juga menasihati cucunya supaya tidak mengulangi perbuatannya itu.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

