
Sejak semalam (17 Julai) tular di media sosial satu video yang memaparkan saat berlakunya kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah treler di Johor.
Dalam video terbabit, kelihatan pemandu treler tersebut sedang keluar perlahan-lahan daripada sebuah persimpangan jalan sambil memberi isyarat kepada kenderaan lain untuk berhenti bagi memberinya laluan.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Proton Wira dilihat gagal berhenti dan mengelak sebelum merempuh treler terbabit menyebabkan ianya terperosok ke bawah kenderaan berat terbabit.
Pemandu Proton Wira cedera, kereta terperosok bawah treler
Kemalangan yang berlaku di kilometer (km) 16, Jalan Sungai Tiram pada semalam itu menyebabkan pemandu lelaki Wira terbabit cedera parah.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I Khas Untuk Penyangdang (KUP), Sufian Md Lis dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan berkenaan pada jam 11.34 pagi.
Enam anggota bomba bergegas ke lokasi kemalangan
Menurutnya, satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan sebuah jentera fire rescue tender (FRT) dan satu unit jentera Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dengan enam anggota telah dihantar ke lokasi.
“Kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah kereta Proton Wira dan sebuah lori treler.
“Pemandu kereta Proton Wira seorang lelaki dalam lingkungan usia 60 tahun mengalami kecederaan di muka telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum PKO tiba ke lokasi.
“Pemandu treler pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dipetik Careta.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak turut mengesahkan tentang kemalangan terbabit.
Kemalangan berlaku ketika treler keluar simpang
Jelasnya, siasatan awal pihak polis mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah treler sedang keluar dari simpang di Batu 14 Sungai Tiram.
“Dalam masa yang sama, sebuah Proton Wira yang datang dari arah Tiram ke Sungai Tiram telah merempuh bahagian ekor treler terbabit.
“Akibat rempuhan itu, pemandu mengalami cedera parah di muka serta kepala dan telah menerima rawatan di Zon Merah, Hospital Sultan Ismail,” katanya dipetik Utusan TV.
Ujarnya lagi, waris mangsa dan pemandu treler telah berjaya dikesan dan telah hadir membuat laporan polis.
Pemandu Wira baru pulang dari jalani rawatan dialisis
Dalam pada itu, seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Ramlah Ismail mendakwa pemandu Wira berkenaan merupakan bapa saudaranya.
Jelasnya, ketika kejadian lelaki itu baru sahaja pulang dari menjalani rawatan dialisis dan berkemungkinan besar berada dalam keadaan yang tidak stabil.
“Mata pun tak berapa jelas, maybe sebelum ini anak teman ke tempat dialisis tapi hari ini (kejadian) anak ada urusan lain sebab itu beliau (pemandu wira) terpaksa memandu sendiri.
“Mohon jaga kata-kata sebab keadaan beliau pun masih di zon merah dan berharap beliau selamat, harap semua jelas dengan keadaan pemandu kereta,” katanya.

Source:



