Tular video Saifuddin kahwinkan pasangan bukan Islam? JPN tampil jelaskan!

LocalPolitics
19 Oct 2026 • 10:57 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggesa orang ramai menghentikan penyebaran semula video lama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengupacarakan perkahwinan sivil pasangan bukan Islam yang kembali tular di media sosial.

JPN dalam satu kenyataan menegaskan, video berkenaan bukan kejadian baharu seperti yang mungkin dipersepsikan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada pengisian Majlis Sambutan Jubli Intan JPN sempena Hari Pendaftaran Negara 2023.

“JPN memandang serius tindakan menularkan semula klip video Menteri Dalam Negeri (MDN) mengupacarakan perkahwinan sivil pasangan bukan Islam, sedangkan perkara tersebut telah dijelaskan secara rasmi sejak 25 Oktober 2023.
“Video berkenaan BUKAN kejadian baharu, sebaliknya merupakan sebahagian daripada pengisian Majlis Sambutan Jubli Intan JPN sempena Hari Pendaftaran Negara 2023,” katanya baru-baru ini.

Menurut JPN, tindakan mengitar semula rakaman lama tanpa memberikan konteks sebenar boleh menimbulkan persepsi mengelirukan dan mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Image from: Tular video Saifuddin kahwinkan pasangan bukan Islam? JPN tampil jelaskan!

Foto arkib: Media sosial

 

Image from: Tular video Saifuddin kahwinkan pasangan bukan Islam? JPN tampil jelaskan!

Foto: Kualiti diperbaiki oleh AI

JPN menjelaskan, jabatan itu bertanggungjawab melaksanakan pendaftaran perkahwinan sivil bagi pasangan bukan Islam berdasarkan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164).

“Penglibatan MDN dalam pengupacaraan perkahwinan sivil tersebut adalah sebahagian daripada pengisian majlis rasmi JPN pada tahun 2023 dan perlu dilihat dalam konteks pelaksanaan fungsi serta tanggungjawab jabatan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, JPN turut berkongsi pandangan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) berkaitan aspek hukum syarak yang relevan sebagai rujukan masyarakat bagi memastikan isu berkenaan dinilai berdasarkan fakta dan penjelasan pihak berautoriti.

JPN menegaskan bahawa perbezaan pandangan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyebarkan maklumat di luar konteks sehingga mencetuskan polemik yang tidak berasas.

“Orang ramai, khususnya pengguna media sosial, digesa supaya lebih bertanggungjawab dalam menyemak kesahihan, tarikh dan konteks sesuatu rakaman sebelum menyebarkannya.
“Hentikan tindakan mengitar semula isu lama dengan naratif yang mengelirukan. Hormati fakta, rujuk penjelasan rasmi dan jangan jadikan media sosial medan mencetuskan salah faham dalam masyarakat,” tegas JPN.

JPN turut menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab secara profesional, berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa serta kepentingan rakyat.

Sumber: Facebook JPN

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved