Tular Video Staf Asingkan Cawan Berisi Hadiah, Chagee Mohon Maaf - "Kami Menjalankan Siasatan Terperinci & Mengambil Tindakan ..."

20 Nov 2024 • 9:47 AM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Kempen 'Tear & Win' anjuran jenama minuman teh terkenal Chagee telah menimbulkan kontroversi selepas tular sepotong video di media sosial.

Video yang memaparkan tindakan seorang individu didakwa pekerja kedai minuman tersebut menyemak dan mengasingkan bekas cawan Big Big Cup yang berisi hadiah menarik ke belakang kedai mencetuskan ketidakpuasan hati ramai.

Ada yang berpandangan tindakan itu tidak wajar dan tidak adil terutama apabila ada dakwaan menyatakan hadiah-hadiah besar itu akan diberikan kepada pempengaruh.

Susulan isu yang tular, Chagee menerusi kenyataan di media sosial tampil memohon maaf.

“Kami dengan rendah rendah hati memohon maaf atas sebarang kebimbangan dan kesulitan berhubung video TikTok baru-baru ini berkaitan dengan acara Tear & Win.

“Tingkah laku tersebut tidak mencerminkan standard yang dipegang oleh Chagee dan kami amat kesal atas segala persepsi negatif yang telah timbul," tulis kenyataan itu.

Selain itu, Chagee akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pekerja yang terbabit dan memperbaiki SOP pengendalian perniagaan mereka.

"Dengan itu, pihak Chagee sedang menjalankan siasatan secara terperinci dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya selaras dengan nilai teras kami. 

"Selain itu, kami turut bekerjasama dengan cawangan yang terlibat untuk mengkaji semula prosedur operasi agar memastikan standard tertinggi dipatuhi," tambah Chagee.