
Baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan seorang lelaki warga asing dipercayai dari Bangladesh memakai kemeja-T tertera logo Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam video terbabit, turut kelihatan nama Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya pada kemeja-T berkenaan.
Video tersebut kemudiannya mendapat perhatian ramai sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi.
Bangla bukan biasa2 . #1malaysia #fypシ #fypシ゚viral #bangladesh #gama #penang
Kemeja-T dipakai lelaki warga asing itu bukan untuk penugasan rasmi
Terbaharu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kemeja-T berlogo PDRM yang dipakai lelaki berkenaan bukan untuk penugasan rasmi.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kemeja-T itu dicetak pada 2016 untuk kegunaan aktiviti sosial.
“Pihak polis telah mengesan satu video tular berdurasi 19 saat pada 1.30 tengah hari semalam memaparkan seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh memakai kemeja-T tertera tulisan ‘IPD Barat Daya’ dan logo ‘PDRM’.
“Hasil siasatan mendapati baju itu dicetak pada 2016 untuk kegunaan aktiviti sosial seperti senaman, gotong-royong dan sebagainya serta bukan bagi penugasan rasmi IPD Barat Daya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (3 September).
Menurutnya lagi, beliau menasihati orang agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video berkenaan selain pihaknya juga telah mengambil maklum isu terbabit.


