Tular Warta Kerajaan Maklum Tengku Muhammad Fakhry Petra Dilantik Sebagai Tengku Mahkota Kelantan

18 Jan 2024 • 10:42 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Semalam, tular sebuah Warta Kerajaan yang memaklumkan Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra telah dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan berkuatkuasa 4 Januari lalu.

Menurut Sinar Harian, Warta Kerajaan Kelantan yang bertarikh 11 Januari itu memaklumkan pelantikan tersebut telah mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

image is not available

Isi warta itu menyatakan bahawa satu mesyuarat telah diadakan pada 4 Januari lalu pada jam 3.30 petang melibatkan Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri Kelantan di Bilik Mesyuarat Setiausaha Kerajaan Kelantan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan, Kompleks Kota Darulnaim berhubung perkara tersebut.

Memenuhi kehendak Fasal (2) Perkara 27 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua), kami dengan ini bersetuju mengangkat sembah nasihat kehadapan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V untuk mengurniakan akan gelaran Tengku Mahkota Kelantan ke hadapan Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra, Tengku Bendahara Kelantan pada ketika ini.

“Tengku Muhammad Fakhry Petra merupakan putera zuriat Almarhum Sultan Ismail Petra, menepati dengan maksud Perkara 30 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua),” katanya.

image is not available

Menurut Warta Kerajaan Kelantan, Sultan Muhammad V turut menarik balik gelaran Tengku Mahkota Kelantan yang dikurniakan kepada Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Katanya, penarikan itu berdasarkan kepada kuasa Baginda di bawah Fasal (2) Perkara 27 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) dibaca bersama dengan Seksyen 47 Interpretation Acts 1948 and 1967.

Sumber: Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.