Bulan lepas telah kami laporkan yang Tumblr sedang membangunkan rekaan antaramuka laman web mereka yang mirip dengan Twitter. Hari ini, Tumblr telah berkongsi lanjut mengenai perubahan yang bakal berlaku pada platform media sosial yang dimiliki oleh syarikat di sebalik WordPress ini.

Tumblr sedar yang laman sekarang sukar digunakan berbanding platform media sosial lain. Antara yang dirancang adalah suapan di laman utama akan dipaparkan dengan kandungan baharu setiap kali ia dibuka. Enjin carian yang lebih mesra pengguna serta lebih mudah mencari kandungan juga ingin disertakan oleh Tumblr pada kemaskini baharu kelak.
Tumblr turut menyedari yang tab Following sedia ada sudah ketinggalan dan para pengguna serta pencipta kandungan tidak menerima pendedahan yang cukup bagus. Ini membawa ke perancangan Tumblr yang seterusnya untuk mengintegrasikan algoritma yang boleh mencadangkan kandungan mengikut citarasa seseorang pengguna.

Berdasarkan apa yang dikongsi, Tumblr ingin menggunakan konsep algoritma seakan TikTok atau Instagram pada platform mereka, sekaligus mengekalkan pengguna untuk tempoh lebih lama. Buat masa ini masih tidak pasti bila perubahan ini akan dilakukan. Sama-sama kita nantikan perkembangan fasa baharu Tumblr dibawah pemilik sama dengan WordPress.
- Sumber
- Tumblr



