
Seorang pelakon lelaki berusia 29 tahun dilaporkan telah ditahan pihak polis selepas disyaki menumbuk isterinya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, pelakon itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari ketika dia hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Pelakon itu dibebaskan dengan jaminan polis sejurus keterangan diambil pada petang yang sama. Menurut Hussein, pihak mereka telah mengambil keterangan mangsa, suspek dan dua saksi.
“Kita akan mendapatkan perintah mahkamah sementara pada esok (Isnin), bertujuan menghalang suami daripada melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sementara siasatan dijalankan polis.”, katanya kepada sumber.
Selain itu, pihak polis juga telah mendapatkan laporan awal perubatan mangsa dan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, isteri kepada pelakon itu membuat satu hantaran di media sosial berkenaan dia telah dipukul pada bahagian muka beberapa kali sehingga mengakibatkan kecederaan di bahagian mata.
Kredit: Astro Awani
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.
