Tumpu bantu rakyat, kata Hajiji

LocalPolitics
18 Sep 2025 • 3:03 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PAPAR: Kerajaan Negeri memberi tumpuan segera untuk membantu rakyat yang terjejas akibat bencana, khususnya dalam situasi tanah runtuh dan banjir yang sedang berlaku di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata isu politik, termasuk cakap-cakap mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) atau kemungkinan pilihan raya negeri, tidak seharusnya mengatasi kebajikan rakyat ketika ini.

“Sekarang adalah masa untuk semua pihak, tanpa mengira latar belakang, mengetepikan perbezaan dan membantu mangsa bencana alam, khususnya mangsa tanah runtuh dan banjir.

“Pembubaran (DUN) bukan perkara yang kita fikirkan buat masa ini. Keutamaan kita ialah menyalurkan bantuan.

“Dalam menghadapi bencana ini, semua pihak termasuk agensi kerajaan mesti digerakkan untuk menyalurkan bantuan,” katanya kepada pemberita di Dewan Raya Tandugal, Kg Mook, Kinarut, Rabu.

Hajiji, yang diiringi beberapa Menteri Kabinet Negeri dan wakil rakyat, menziarahi Aristhotle @ Jude Joseph yang kehilangan isteri, Emily Johnny, 38, dan anak lelakinya, Xarell Myre Aristhotle, 11, apabila rumah mereka di Kampung Mook ditimbus tanah runtuh akibat hujan lebat pada Isnin.

Dalam lawatan itu, Hajiji kelihatan sebak dan beberapa kali mengesat air mata ketika mendengar kisah keluarga mangsa yang masih bersedih.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada Aristhotle bagi membaik pulih rumahnya sebelum melawat lokasi kejadian.

“Dua keluarga (di Kg Mook dan Kg Tuntul, Marahang, Papar) telah kehilangan orang tersayang. Saya dan seluruh pimpinan negeri merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam atas apa yang berlaku,” katanya.

Hajiji turut mengulangi gesaan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, agar semua pihak mengetepikan perbezaan politik dan bekerjasama membantu mangsa.

“Ini masa untuk menunjukkan perpaduan, perbezaan politik tidak sepatutnya menjadi halangan,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah mula menyalurkan bantuan, termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada mangsa banjir yang berpindah ke pusat sementara, serta RM10,000 kepada waris mangsa yang terkorban.

“Kita juga akan membantu dari segi rumah, urusan pengebumian dan keperluan lain. Sokongan bukan sahaja daripada Kerajaan Negeri dan Persekutuan tetapi juga daripada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).

“Bantuan kewangan sebanyak RM10,000 telah diberikan kepada setiap keluarga mangsa tanah runtuh, selain tambahan RM10,000 yang disumbangkan oleh Yayasan Kebajikan Sabah,” katanya.

Selain menziarahi mangsa tanah runtuh di Kg Mook, Ketua Menteri turut melawat beberapa kawasan yang teruk terjejas akibat tanah runtuh dan banjir di Kg Tuntul Marahang sebelum meneruskan lawatan ke Beaufort, Bongawan, Penampang dan Kota Kinabalu.

Beliau kemudian ke Dewan Kg Marahang, Papar, untuk menemui Benney Binjamis @ Emis yang kehilangan isterinya, Wong Moi Ling @ Meymey, 34, serta dua anaknya, Kamey Asphereynda Benney, 10, dan Christen Kell Benney, 6, apabila rumah mereka di Kg Marahang Tuntul ditimbus tanah runtuh pada pagi Isnin.

Hajiji turut menyampaikan sumbangan kepada Benney dan keluarganya.

Selepas itu, Hajiji ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon, Beaufort, untuk menyampaikan bantuan kepada 83 keluarga mangsa banjir sebelum ke Dewan Masyarakat Bongawan untuk menyampaikan bantuan kepada 56 keluarga lagi.

Pada sebelah petang, beliau meninjau kawasan perumahan Country Heights dan Institut Perguruan Gaya yang turut terjejas akibat tanah runtuh.