Tun Dr Siti Hasmah: Kehidupan Dan Legasi Tersendiri Milik Beliau

LocalOpinion
28 Sep 2026 • 2:51 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Tun Dr Siti Hasmah: Kehidupan Dan Legasi Tersendiri Milik Beliau

Saya amat berdukacita apabila menerima berita pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pagi ini. Berita ini benar-benar meninggalkan rasa sedih yang amat mendalam.

Namun, saya ingin menjelaskan sesuatu sejak awal.

Pandangan saya terhadap Tun Siti Hasmah selama ini sentiasa berbeza daripada pandangan saya terhadap suaminya.

Tetapi hari ini, ia bukan tentang Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hari ini adalah tentang beliau.

Tun Siti Hasmah wajar dikenang bukan sekadar sebagai isteri kepada salah seorang Perdana Menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat, tetapi sebagai seorang rakyat Malaysia yang luar biasa dan mempunyai legasi tersendiri.

Saya mengenali beliau ketika masih kecil dan terus mengenali serta melihat sosoknya hingga saya meningkat dewasa.

Apa yang paling saya ingat bukan gelaran, protokol mahupun politik.

Sebaliknya, saya mengingati kebaikan dan kehangatan dirinya.

Ada orang yang memasuki sebuah bilik dan akan pastikan semua orang tahu siapa dirinya.

Namun, ada juga orang yang memasuki sebuah bilik lalu membuatkan setiap insan di dalamnya berasa bahawa mereka dihargai.

Tun Siti Hasmah adalah insan seperti itu.

Beliau baik hati, terbuka dan mempunyai empati yang sangat tinggi. Ada kelembutan dalam dirinya yang anehnya, tidak pernah membuatkan beliau kelihatan lemah.

Saya memahami dan melihat kekuatan itu kerana saya pernah melihatnya ia dalam diri ibu saya sendiri.

Mendiang ibu saya, Puan Sri Sukumari Sekhar, merupakan sebahagian daripada generasi luar biasa wanita Malaysia yang membantu membangunkan institusi seperti Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia serta memperjuangkan, sering kali tanpa publisiti, nasib wanita, kanak-kanak dan golongan yang mudah dilupakan oleh masyarakat.

Tun Siti Hasmah juga mengabdikan dirinya dalam bidang yang sama, berkhidmat kepada masyarakat.

Perubatan. Kesihatan ibu dan anak. Wanita. Keluarga. Pencegahan penyalahgunaan dadah. Orang kurang upaya. Golongan rentan.

Jauh sebelum Malaysia mengenali beliau sebagai Wanita Pertama, beliau adalah Dr Siti Hasmah.

Seorang doktor pada zaman ketika wanita dalam bidang perubatan masih merupakan sesuatu yang jarang berlaku.

Seorang perintis dalam bidang kesihatan ibu dan anak.

Seorang wanita yang memilih untuk berkhidmat kepada masyarakat dan membantu memperbaiki kehidupan rakyat biasa, khususnya wanita dan kanak-kanak.

Kemudian, sejarah meletakkan beliau di sisi salah seorang tokoh politik paling berpengaruh dan paling kontroversi yang pernah dimiliki negara ini.

Namun, beliau tidak pernah kelihatan memerlukan bayang-bayang suaminya untuk menyerlahkan dirinya.

Beliau berdiri dengan identiti dan kekuatannya sendiri.

Itulah antara perkara yang saya kagumi tentang beliau.

Beliau mampu berdiri di sisi kuasa yang begitu besar, namun pada masa yang sama kekal sebagai seorang manusia yang dekat dengan orang lain.

Mesra.

Kelakar.

Mudah didekati.

Baik hati.

Sifat-sifat ini mungkin kelihatan kecil pada zaman kita sering menyamakan sikap agresif dengan kekuatan dan suara lantang dengan kepimpinan.

Tetapi sebenarnya, ia bukan perkara kecil.

Kebaikan bukan kelemahan.

Empati bukan bererti terlalu lembut.

Dan maruah tidak memerlukan seseorang itu meninggikan suara untuk membuktikannya.

Apabila memikirkan tentang Tun Siti Hasmah hari ini, saya turut teringat kepada ibu saya dan generasi luar biasa wanita Malaysia.

Wanita daripada pelbagai kaum dan agama yang terus bekerja membina negara ini.

Mereka tidak memerlukan tanda pagar untuk memperjuangkan pemerkasaan wanita.

Mereka mengamalkannya dalam kehidupan.

Mereka tidak perlu sentiasa bercakap tentang kepelbagaian.

Mereka sendiri adalah wajah kepelbagaian itu.

Mereka juga tidak perlu mengumumkan rasa belas kasihan kepada orang lain.

Mereka menunjukkannya melalui perbuatan.

Dan mungkin ada sesuatu yang rakyat Malaysia boleh pelajari semula daripada generasi mereka.

Kita sudah terlalu mahir menjerit antara satu sama lain.

Terlalu mudah mencari alasan untuk berpecah.

Terlalu kerap menganggap kemarahan sebagai keberanian.

Tun Siti Hasmah mewakili sesuatu yang lebih lembut.

Namun tidak kurang kuatnya.

Inilah Malaysia yang masih saya percaya.

Sebuah Malaysia yang meletakkan kemanusiaan mengatasi politik.

Sebuah negara di mana perbezaan pendapat tidak semestinya membawa kepada kebencian.

Di mana kekuatan dan sifat belas ihsan boleh wujud dalam diri seseorang yang sama.

Dan di mana khidmat kepada masyarakat akhirnya tidak diukur berdasarkan jawatan yang pernah disandang, tetapi melalui kehidupan manusia yang menjadi sedikit lebih baik kerana kita pernah hadir dalam hidup mereka.

Hari ini, saya mengenang wanita yang saya kenali ketika kecil dan pemimpin yang saya lihat sebagai seorang dewasa.

Senyumannya.

Kehangatannya.

Kebaikannya.

Dan keupayaan luar biasa beliau untuk membuatkan orang berasa selesa apabila berada di sisinya.

Malaysia pernah mempunyai ramai Wanita Pertama.

Namun, bagi saya, Tun Siti Hasmah adalah antara mereka yang benar-benar istimewa.

Bukan kerana lelaki yang dikahwininya.

Bukan kerana jawatan yang disandang oleh suaminya.

Tetapi kerana wanita yang beliau pilih untuk menjadi dirinya sendiri.

Seorang doktor.

Seorang perintis.

Seorang ibu.

Seorang wanita yang penuh keanggunan dan nilai kemanusiaan yang begitu besar.

Dan paling utama, seorang rakyat Malaysia yang mengabdikan dirinya untuk berkhidmat kepada negara.

Selamat jalan, Aunty Siti.

Terima kasih atas kebaikan yang akan saya kenang sejak zaman kanak-kanak.

Terima kasih atas kehangatan yang pernah Aunty tunjukkan.

Terima kasih atas segala khidmat Aunty kepada negara kita.

Dan terima kasih kerana mengingatkan kita tentang sesuatu yang semakin berharga.

Kita tidak perlu lantang untuk menjadi kuat.

Kita tidak perlu berkuasa untuk membawa perubahan.

Dan kita tidak perlu berdiri dalam bayang-bayang sesiapa apabila kita memiliki cahaya kita sendiri.

Beristirahatlah dengan tenang, Tun.

Aunty hidup berdampingan dengan sejarah dan turut menjadi sebahagian daripada sejarah itu sendiri.

Semoga Allah SWT menyambut kepulangan Aunty dengan rahmat dan kasih sayang-Nya yang kekal abadi.

Aunty meninggalkan sebuah legasi yang sepenuhnya milik Aunty sendiri.

Dan negara ini akan sangat merindui kehadiran Aunty. - Getaran, 28 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved