
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui masih belum pulih sepenuhnya daripada kesedihan, susulan pemergian isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Beliau berkata, keadaan itu turut menjejaskan kemampuannya untuk kembali bertugas seperti biasa.
Akui Dr Mahathir, keadaannya masih belum mengizinkan meskipun sudah cuba kembali ke pejabat sejak beberapa hari lalu.
“Sehari dua ini saya cuba ke pejabat tetap upaya masih belum begitu kuat,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Jelas Dr Mahathir, beliau amat terharu atas kiriman doa yang tidak pernah putus buat Allahyarham isterinya sedari awal.
“Bagi pihak kesemua ahli keluarga, saya nak ambil kesempatan untuk ucap berbanyak terima kasih kepada semua yang membantu menyempurnakan urusan pengebumian Hasmah tempoh hari.
"Selain itu, saya amat terharu kerana doa yang tidak putus-putus dipanjangkan kepada isteri saya Hasmah sehingga sekarang, sama ada di pusara mahupun dari mana-mana sahaja,” katanya.
Dr Mahathir memberitahu, semua perhatian dan doa mengingatkan beliau untuk terus bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah meminjamkan Dr Siti Hasmah untuk satu tempoh yang amat panjang.
“Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk meminta maaf jika sepanjang tempoh ini ada salam yang tidak saya sambut, lambaian yang tidak saya balas serta ucapan takziah yang belum saya jawab,” katanya.
Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, 28 September lalu.
Jenazah Allahyarham dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Pembesar Negara di Pusara Negara di Putrajaya pada hari yang sama. - Getaran, 19 Oktober 2026






