
PUTRAJAYA- Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali mencipta sejarah tersendiri apabila diiktiraf sebagai bekas Perdana Menteri dan pasangan tertua yang masih hidup di peringkat ASEAN.
Pengiktirafan itu disampaikan ASEAN Records dan ASIA Records dalam satu majlis di Yayasan Kepimpinan Perdana, semalam bersempena ulang tahun kelahiran ke-101 Dr. Mahathir pada 10 Julai, manakala Dr. Siti Hasmah ke-100 pada 12 Julai lalu.
Sebanyak tiga rekod rasmi diberikan kepada pasangan itu, termasuk pengiktirafan Bekas Perdana Menteri Tertua yang Masih Hidup kepada Dr. Mahathir oleh ASEAN Records.
Dr. Mahathir yang berusia 101 tahun pada 10 Julai lalu, pernah menerajui negara selama 24 tahun menerusi dua tempoh tidak berturut-turut, iaitu dari 1981 hingga 2003 dan 2018 hingga 2020.
Dr. Siti Hasmah pula diiktiraf sebagai Pasangan Bekas Perdana Menteri Tertua yang Masih Hidup oleh ASEAN Records.
Beliau yang genap berusia 100 tahun pada 12 Julai lalu telah mendirikan rumah tangga bersama Dr. Mahathir selama 70 tahun sejak 5 Ogos 1956 dan menjadi isteri Perdana Menteri selama 24 tahun sepanjang tempoh 1981 hingga 2003 serta 2018 hingga 2020.
Rekod ketiga yang diberikan ASIA Records pula mengiktiraf Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah sebagai pasangan bekas ketua kerajaan pertama yang kedua-duanya mencapai usia 100 tahun dan masih hidup.
Kisah pasangan itu bermula pada 1947 ketika kedua-duanya masih menuntut dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine.
Mereka kemudian mendirikan rumah tangga pada 1956 dan dikurniakan tujuh cahaya mata sebelum Dr. Mahathir meneruskan perjalanan dalam politik sehingga menjadi Perdana Menteri, manakala Dr. Siti Hasmah turut memainkan peranan penting dalam khidmat kepada negara.
Menurut ASEAN Records dan ASIA Records, proses pengesahan oleh pasukan adjudikasi mendapati tiada pencapaian setara dengan rekod berkenaan yang didokumentasikan secara terbuka di rantau ASEAN serta pasaran utama Asia.
Sijil pengiktirafan itu disampaikan Pengerusi Lembaga Penasihat ASEAN Records dan ASIA Records, Tan Sri Datuk Danny Ooi yang turut diiringi Ketua Adjudikasi, Gillian Ooi dan Eldrick Koh. – KOSMO! ONLINE
The post Tun M, Dr. Siti Hasmah diiktiraf bekas PM, pasangan tertua ASEAN appeared first on Kosmo Digital.






