
KUALA LUMPUR: Demi menjaga kebajikan rakyat dan negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disarankan terus menggeledah badan-badan berkanun lain seperti Felda dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi memulihkan institusi tersebut seperti yang dilakukan kepada Lembaga Tabung Haji (TH).
Felo Akademi Sains Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, walaupun belum sepenggal menjadi PM, Anwar telah membuktikan kemampuannya menerusi pelaksanaan skim pemulihan TH yang pada suatu masa menjana kerugian RM13 bilion.
“Bagi masa seterusnya dalam penggal ini dan insyaAllah dalam penggal kedua sebagai PM, Anwar disaran meneruskan geledah dan rawat Felda dan Mara yang kita dengari sebelum ini mempunyai banyak masalah tadbir urus.
“Itulah kekuatan Anwar dan apa yang Malaysia perlukan, dasar anti-rasuah yang beliau amalkan bukan sahaja menyelamatkan duit pembayar cukai dan para peneroka seperti dalam kes Felda, Anwar diperlukan lagi untuk membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Semalam, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengesahkan tahap kerugian hampir RM13 bilion, iaitu kerugian RM10.2 bilion yang ditanggung dana kerajaan melalui Urusharta Jamaah pada 2018, dan rosot nilai RM2.6 bilion yang ditanggung TH sendiri.
Sebelum ini, Perdana Menteri pernah berkata, sebaik kembali menerajui pentadbiran negara, laporan yang diterima FELDA kini menanggung kerugian hampir RM10 bilion akibat salah urus serta campur tangan politik yang berlebihan.
Terdahulu, Ketua Pengarah Mara, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf dilapor menjelaskan bahawa kerugian Mara Inc bernilai RM 286.30 juta yang terkumpul sejak 2012 hingga 2022 seperti dapatan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 berpunca daripada pembelian aset luar negara, khususnya di Australia dan United Kingdom (UK) antara 2012 hingga 2014.
Mengulas lanjut, Dr. Ahmad berkata, institusi Felda dan Mara mempunyai kepentingan dalam pembangunan orang Melayu dan lanjutan daripada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) yang menekankan aspek pendidikan dan keusahawan.
Katanya, ia terutama apabila kerajaan menekankan tentang pendidikan Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Lebih 360 Sekolah Felda perlu diberikan perhatian sesuai dengan matlamat penubuhan Felda dan resolusi KEB, begitu juga dengan Mara. Pencapaian pembangunan dalam pendidikan dan keusahawanan mesti diaudit.
“Perkara ini perlu dilakukan Perdana Menteri bersesuaian dengan perjuangan beliau tentang kemiskinan melalui pendidikan dan keusahawanan,” katanya. –UTUSAN
The post Selepas pulihkan kerugian RM13b TH, Perdana Menteri disaran tumpu rawat Felda, Mara appeared first on Utusan Malaysia.






