SERDANG – Pameran ikan tuna sirip kuning dari Labuan lengkap dengan demonstrasi pemotongan dan sesi uji rasa sashimi percuma menjadi antara tarikan di Pavilion ‘Malaysia Fish and Seafood Exposition’ (MySE) 2026 sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) kali ini.
Pengunjung juga berpeluang mengenali pelbagai spesies hasil laut menerusi Pameran ‘Kingdom of Seafood’ dan mendekati belangkas menerusi pameran interaktif ‘Touchpool Belangkas’, selain menyaksikan pameran belut ‘Anguilla bicolor’ yang memberi kelainan pada MySE edisi kali ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, MySE bukan sekadar pameran berkaitan makanan laut, sebaliknya platform menghimpunkan keseluruhan ekosistem industri perikanan daripada sektor huluan hingga hiliran.
**media[3633833]**
“Kepada para pengunjung, ambil peluang ini untuk mengenali pelbagai spesies hasil laut menerusi Pameran Kingdom of Seafood. Tuna Showcase pula membawakan khas ikan tuna Yellowfin bersama sesi uji rasa sashimi percuma.
“Kanak-kanak juga pasti teruja dengan pameran interaktif Touchpool Belangkas serta pengalaman mengendalikan bot nelayan secara realistik menerusi Simulator Bot Nelayan Moden,” katanya ketika berucap merasmikan Pavilion MySE pada MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini pada Selasa. Hadir sama, Pengerusi LKIM, Tuan Haji Muhammad Faiz Fadzil dan Ketua Pengarah LKIM, Datuk Dr. Haji Abdul Salim bin Haji Tajudin
Mengulas lanjut Foong Hin berkata, tarikan di MySE turut merangkumi elemen pemodenan dan pendigitalan dengan mengetengahkan teknologi sektor perikanan daripada peringkat huluan hingga hiliran selaras dengan keperluan industri semasa.
Antara teknologi dipamerkan ialah ‘Fishing Satellite Buoy’ yang berfungsi mengesan kawanan ikan berasaskan satelit dan ‘Solar Dome’ atau kubah pengeringan hasil laut menggunakan tenaga suria selain Simulator Pendaratan Ikan berasaskan skrin sentuh interaktif tiga dimensi.
“Kita mahu melihat lebih banyak pengaplikasian teknologi moden dan digital seperti ini diguna pakai dalam kalangan nelayan dan usahawan agar produk serta operasi perikanan Malaysia mampu memenuhi kehendak pasaran yang kompetitif,” ujarnya.
**media[3633834]**
Foong Hin menegaskan, MySE juga menjadi medan mempromosikan makanan berasaskan hasil laut Malaysia selain membuka ruang kepada usahawan meneroka potensi pasaran baharu dan memperluaskan pasaran sedia ada khususnya ke peringkat antarabangsa.
Tambahnya, MySE yang berlangsung selama 10 hari di ruang pameran seluas 610 meter persegi di Dewan A, MAEPS menyasarkan kehadiran 56,000 pengunjung serta nilai urus niaga dan padanan perniagaan hampir RM15 juta.
Penganjuran MySE bersempena MAHA bermula pada 2016 selepas dijenamakan semula daripada Malaysia International Seafood Exposition (MISE) yang dianjurkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada 2014.
MySE yang kembali selepas kali terakhir dianjurkan pada 2022 tampil menerusi format dwi-fungsi iaitu ekspo perdagangan dan pameran pengguna berteraskan tema MAHA 2026, ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’.




