johardy02/09/2026 - 08:05 Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (tiga dari kiri) bersama Datuk Chan Foong Hin (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2026 (MAHA 2026) di Serdang. Turut hadir ialah Tengku Datuk Ahmad Badli Shah Raja Hussin (dua dari kiri) dan Dr Zaki Aman (kiri). - Gambar BERNAMA Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Sept - Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mengenal pasti lima bidang utama yang diharapkan diberi tumpuan dalam Belanjawan 2027 bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan memperkukuh daya saing sektor agrikomoditi negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, lima bidang berkenaan ialah pemerkasaan pekebun kecil; mekanisasi, automasi dan pendigitalan; pembangunan industri hiliran; kemampanan, kebolehkesanan dan pematuhan piawaian antarabangsa; serta pembangunan bakat tempatan.
Beliau berkata, pemerkasaan pekebun kecil menerusi input berkualiti, amalan pertanian baik dan sokongan terhadap program penanaman semula bagi meningkatkan produktiviti serta pendapatan merupakan antara bidang yang perlu diberi perhatian.
Tingkatkan produktiviti pekebun kecil
“Teknologi sedang mengubah cara sektor pertanian beroperasi. Perkembangan ini turut membawa implikasi besar kepada sektor agrikomoditi.
“Industri sawit, getah, perkayuan, koko, lada dan kenaf perlu terus memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos dan menghasilkan produk bernilai lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Noraini berkata, satu lagi tumpuan KPK ialah mempercepat mekanisasi, automasi dan pendigitalan, termasuk penggunaan teknologi pintar dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.
Perkukuh industri hiliran
Beliau berkata, KPK juga mahu memperkukuh industri hiliran menerusi penyelidikan, pengkomersialan inovasi serta pembangunan produk baharu berteknologi tinggi.
Usaha itu bertujuan mencipta dan mengekalkan lebih banyak nilai dalam negara daripada komoditi utama Malaysia.
“Perhatian juga perlu diberikan kepada aspek kemampanan, kebolehkesanan dan pematuhan piawaian antarabangsa bagi memastikan produk agrikomoditi Malaysia terus diterima serta kekal berdaya saing di pasaran global,” katanya.
Bangunkan bakat tempatan
Noraini berkata, tumpuan seterusnya ialah membangunkan bakat tempatan menerusi pengukuhan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan kemahiran serta peningkatan penyertaan golongan belia.
Beliau berkata, pembangunan bakat perlu bergerak seiring dengan perubahan industri yang semakin dipacu teknologi, automasi dan berorientasikan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Noraini berkata, KPK yakin sokongan kerajaan menerusi Belanjawan 2027 mampu mempercepat transformasi sektor agrikomoditi, sekali gus memastikan industri itu terus menjadi antara tonggak ekonomi negara dan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.
Terdahulu, Noraini melancarkan Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit, hasil kerjasama Agrobank dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Majlis pelancaran itu diadakan bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2026 (MAHA 2026) di Serdang.
Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin; Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Datuk Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Zaki Aman. - DagangNews.com






