Tune Protect perkukuh pengurusan risiko iklim, skor ESG meningkat

LocalBusiness & Finance
18 Sep 2026 • 11:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tune Protect perkukuh pengurusan risiko iklim, skor ESG meningkat Image from: Tune Protect perkukuh pengurusan risiko iklim, skor ESG meningkat johardy18/09/2026 - 11:50 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Sept — Tune Protect Group Berhad memperkukuh keupayaan pengurusan risiko iklim dan pelaporan kemampanannya ketika syarikat insurans itu bersiap sedia menghadapi keperluan pendedahan yang lebih ketat serta menyasarkan pelepasan karbon sifar bersih bagi Skop 1 dan Skop 2 menjelang 2050.

 

Ketua Pegawai Strategi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemampanan Tune Protect, Koot Chiew Ling berkata, kumpulan itu memperluas pasukan rentas fungsinya bagi menyokong analisis senario iklim, ujian tekanan risiko iklim dan persediaan menghadapi pelaksanaan Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Nasional (NSRF).

 

Tune Protect turut melantik seorang pegawai pengurusan kanan khusus untuk menyelia perkara berkaitan iklim, selain menyediakan latihan berkaitan iklim kepada semua kakitangannya.

 

Ahli lembaga pengarah dan peneraju kemampanan kumpulan itu juga telah melengkapkan program pensijilan berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Tune Protect turut menetapkan garis dasar pelepasan Skop 1 dan Skop 2 sebagai asas untuk menetapkan serta memantau sasaran iklimnya, selain memperluas analisis senario iklim untuk merangkumi lebih banyak kemungkinan.


 

Tune Protect, Koot Chiew Ling
Koot Chiew Ling

 


Kumpulan itu juga menggunakan teknologi automasi proses robotik bagi meningkatkan proses pengumpulan data ESG dan ketepatan pelaporan, khususnya untuk pelepasan Skop 2.

 

Skor FTSE4Good meningkat kepada 4.3

Langkah tersebut membantu meningkatkan skor ESG Tune Protect dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia kepada 4.3 daripada 3.9, sekali gus meletakkannya dalam kalangan syarikat insurans yang mencatat skor lebih tinggi dalam indeks berkenaan.

 

Koot berkata, pengurusan risiko iklim penting kepada daya tahan dan penciptaan nilai jangka panjang syarikat, selain membantu Tune Protect bertindak balas terhadap perubahan peraturan serta jangkaan pihak berkepentingan.

 

Kumpulan itu juga sedang memperluas penawaran produk insurans mampan, termasuk perlindungan berkaitan tenaga solar bagi menyokong penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

 

Tune Protect turut menyasarkan 6,000 jam penglibatan komuniti antara 2025 hingga 2027, dengan kemajuan semasa dilaporkan berada pada landasan yang ditetapkan.

 

Syarikat itu merupakan satu daripada dua organisasi yang menerima anugerah Syarikat Berprestasi Terbaik Mengikut Sektor bagi kategori perkhidmatan kewangan pada Anugerah ESG The Edge Malaysia 2026. — DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved