
KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengingatkan umat Islam agar menunggu pengumuman rasmi berhubung tarikh 1 Syawal, bukan mengikut pendapat atau mempercayai dakwaan mana-mana pihak.
Beliau berkata, pengumuman rasmi tarikh 1 Syawal akan dibuat pada jam 8 malam di semua saluran rasmi pada Khamis ini, 20 April.
Katanya, Malaysia hanya merujuk kepada pengumuman dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan bukan daripada pihak lain.
“Jadi kalau tuan-tuan dan puan-puan terima apa-apa info (tarikh 1 Syawal), sama ada jam 6 petang, 6.30 petang atau 7 petang jangan percaya.
“Tunggu pengumuman rasmi. Kita tidak ikut pengumuman seperti di Arab Saudi, India atau Indonesia, kecuali kita beraya di sana.
“Kita di Malaysia akan rujuk pengumuman dari Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. InsyaAllah saya percaya sambutan Aidilfitri akan jatuh pada satu Syawal. Jadi apa pun tak akan lari,” katanya seperti dilaporkan media.

Menurutnya, semua pihak juga diingatkan bersedia dengan kemungkinan tarikh 1 Syawal yang diumumkan nanti, bagi mengelak sebarang kekalutan.
Sebelum ini, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim dilaporkan berkata, penetapan 1 Syawal di Malaysia berdasarkan Ikmanur Rukyah (kebolehnampakan anak bulan Syawal) yang bergantung kepada cerapan akan dilakukan 20 April nanti.
“Tiada isu sebenarnya pada tahun ini kerana menurut data diperoleh dan diukur, amat sukar untuk kita melihat anak bulan di tempat kita (Malaysia).
“Namun, masyarakat terkesan dengan sumber dari negara luar yang sudah tentu ukuran anak bulannya berbeza-beza, umur bulan juga berbeza,” katanya.
Terdahulu, tular kenyataan memaparkan ‘Kalender Islam’ di media sosial yang menyenaraikan tarikh penting untuk masyarakat Islam, termasuk 1 Syawal dikatakan akan disambut pada 21 April ini.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan kalendar dikeluarkan pihak tertentu itu dengan menegaskan ia tidak sahih.
“Semua pihak dinasihatkan supaya menghormati proses penentuan rasmi tarikh hari raya (Aidilfitri) di negara ini yang dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBRR), selaku pihak diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja,” katanya. – Getaran, 17 April 2023


