
LAHAD DATU: Daerah kecil Tungku akan memperoleh status daerah penuh, jika Parti Warisan mengambil semula tampuk pemerintahan selepas pilihan raya negeri akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Tungku mempunyai banyak potensi sedia ada dan banyak lagi yang perlu diterokai.
Katanya, perkara ini sudah lama dirancang dan status daerah penuh membolehkan pembangunan dijalankan di kawasan berkenaan.
“Saya cadangkan Tungku bukan lagi mukim dan dinaik taraf kepada taraf daerah penuh, dan pembangunan boleh dijalankan di sana.
“Bila saya lalu kawasan Tungku semalam, saya nampak banyak syarikat perladangan di sana. Banyak pelaburan di sana, sudah tentu pembangunan boleh dilaksanakan di sana,” katanya selepas majlis berbuka puasa di Masjid Raudah, pada Ahad.
Dalam majlis anjuran Warisan Segama dan Silam itu, Shafie turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf.
Terdahulu pada Sabtu, Shafie merasmikan majlis berbuka puasa anjuran Tungku Warisan di Masjid Daerah Tungku.
Shafie ketika ditemui selepas majlis itu memberitahu Warisan akan bertanding secara ‘solo’ pada pilihan raya negeri akan datang.
Parti itu berazam untuk menunjukkan kemampuan mereka untuk meletakkan Sabah dan rakyat di landasan yang betul.
Dalam ucapannya, Shafie menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat dan menyeru rakyat supaya berhenti menyentuh sebarang isu yang boleh membawa kepada perpecahan terutama membabitkan 3R (Agama, Bangsa dan Institusi Raja).


![Pemuda Dapat Kembali Bantal Busuk Yang Hilang Sebagai Hadiah Hari Jadi Buat Ramai Terhibur [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/lifestyle.jpeg)