
JOHOR BAHRU: Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta rekod dunia tanpa kalah dengan 109 kemenangan berturut-turut sejak 2021 adalah hasil sentuhan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang merevolusikan Harimau Selatan sejak 12 tahun lalu.
Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz berkata, Tunku Mahkota Ismail menjadi batu asas bagi setiap kejayaan yang dilakar Harimau Selatan yang merangkul trofi ke-35 Selepas menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah selepas menewaskan Kuching City FC 3-0, kelmarin.
Katanya, Baginda berjaya mentranformasikan JDT sebagai gergasi Liga Malaysia hingga digeruni di rantau Asia Tenggara dan meletak penanda aras baharu bola sepak tanah air.
“Kejayaan melakar rekod dunia ini amat luar biasa dan saya amat bangga menjadi sebahagian daripada kejayaan itu, sejarah ini buat suatu yang mudah ditulis oleh mana-mana pasukan dalam dunia bola sepak moden ketika ini.
“Kita perlu menghargai segala usaha Baginda yang berusaha keras membuat transformasi dengan segala infrastruktur yang disediakan yang memangkin kelab ini terus berkembang sejak 2013,” katanya.
Munoz menyifatkan anak buahnya dipaksa bekerja keras bagi menundukkan The Cats yang membuahkan tiga mata pertama pada aksi pembukaan Liga Super.
“Kemenangan itu membolehkan JDT mengorak langkah kanan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia. Saya dapati ada segelintir pemain yang belum berada di tahap terbaik dan saya faham situasi itu.
“Selepas pramusim di Sepanyol malah kita perlu memperbaiki banyak perkara terutama pemain baharu yang masih dalam proses memahami pendekatan taktikal permainan yang diterapkan,” katanya.
Ditanya mengenai status Bergson Da Silva, Manuel Hidalgo dan Shane Lowry yang kini berstatus pemain naturalisasi, Munoz menyifatkan itu sebagai berita baik buat kelab bahkan memberi impak positif kepada pasukan kebangsaan.
Katanya, sudah termaktub dalam peraturan bagi membolehkan pemain yang beraksi dalam tempoh yang ditetapkan dan tidak sepatutnya timbul isu untuk pemain berkenaan dinaturalisasikan.
“Peraturan tetap peraturan dan di Sepanyol, proses naturalisasi pemain dilakukan sejak 20 tahun lalu dan lihat pasukan itu sekarang apabila muncul juara Piala Dunia. Ini juga bagus bagi meningkatkan kualiti bola sepak di negara ini.
“Dengan adanya pemain naturalisasi, ia memberi impak yang besar dalam kancah Liga Malaysia yang bakal meningkatkan tahap kualiti liga,” katanya.-UTUSAN
The post Tunku Mahkota Ismail pacu JDT lakar rekod dunia appeared first on Utusan Malaysia.






