Johor kekal kuasa besar olahraga SUKMA

22 Aug 2026 • 9:26 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Johor kekal kuasa besar olahraga SUKMA

PETALING JAYA: Misi kontinjen Johor untuk mempertahankan mahkota juara keseluruhan olahraga Sukan Malaysia (SUKMA) berhasil apabila meraih sembilan emas, lapan perak dan lima gangsa untuk mengungguli carta kedudukan pada edisi kali ini.

Lebih membanggakan, kejayaan itu turut menyaksikan Johor memecahkan empat rekod baharu SUKMA, sekali gus mengukuhkan dominasi mereka dalam sukan olahraga selepas turut muncul juara keseluruhan pada edisi 2022 dan 2024.

Koordinator Olahraga Johor, S. Ananda Raja berkata, pencapaian sembilan emas itu jauh mengatasi sasaran rasmi pasukan yang ditetapkan sebanyak lima emas berdasarkan prestasi atlet dan kekuatan pencabar dari negeri lain sebelum temasya bermula.

“Sasaran rasmi kami untuk SUKMA kali ini adalah lima pingat emas. Kami capai sembilan pingat emas dan jumlah itu sudah sama dengan jumlah emas yang kita perolehi sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Universiti Putra Malaysia (UPM), kelmarin.

Empat rekod baharu yang dicipta Johor hadir menerusi acara 200 meter (m) lelaki, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, 4x100m lelaki, 4x400m campuran dan rejam lembing lelaki, Chai Kai Le.

“Daripada sembilan pingat emas yang kita perolehi, empat daripadanya mencatatkan rekod baharu SUKMA. Dari segi jumlah kutipan pingat pula, kita sudah ada 21 pingat berbanding 18 pingat pada SUKMA lepas, jadi dari segi kualiti dan jumlah memang ada peningkatan,” kata Ananda.

Terengganu menduduki tempat kedua dengan kutipan tujuh emas, tiga perak dan tiga gangsa manakala Wilayah Persekutuan di tempat ketiga dengan enam emas, satu perak dan tiga gangsa.

Mengulas lanjut, Ananda berkata, kejayaan Johor bukan diraih secara bermusim sebaliknya persediaan rapi terus dibuat sebaik sahaja SUKMA melabuhkan tirainya, termasuk mengekalkan atlet yang masih layak, pencarian bakat menerusi kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Johor (MSSJ).

“Bila sudah habis SUKMA, dalam masa dua tiga minggu kita akan senaraikan atlet yang masih layak dari segi umur dan terus buat persediaan. Jadi persediaan itu adalah dari SUKMA ke SUKMA, lebih kurang dua tahun tanpa henti,” katanya.

Setiap atlet Johor yang memenangi emas menerima insentif RM10,000 seorang termasuk acara berpasukan dan tambahan RM500 hingga RM1,000 bagi setiap rekod temasya yang berjaya dilakukan.-UTUSAN

The post Johor kekal kuasa besar olahraga SUKMA appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved