ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah akan terus memperjuangkan permohonan insentif fiskal sebanyak RM200 juta setahun daripada kerajaan Persekutuan sebagai pampasan terhadap pengorbanan mengekalkan kawasan tanaman padi dan hutan tadahan air di negeri itu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tuntutan tersebut dibuat berdasarkan tanggungjawab negeri dalam memastikan kawasan strategik seperti sawah padi, empangan dan hutan tadahan air terus dipelihara demi kepentingan nasional.
Menurutnya, kawasan yang dikekalkan itu bukan sahaja penting untuk bekalan air dan pertanian, malah berperanan besar dalam menjamin keselamatan makanan negara.
“Kita bukan minta duit percuma. Apa yang dimohon ini adalah sebagai insentif atau pampasan kerana kita mengekalkan kawasan yang kalau dibangunkan akan mengurangkan kawasan sawah padi,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman pada Khamis.
Beliau berkata, sekiranya kawasan tanaman padi di negeri itu terus mengecil akibat pembangunan, ia akan memberi kesan langsung kepada pengeluaran beras negara sekali gus meningkatkan kebergantungan kepada import.
Menurutnya, usaha itu bukan sekadar tuntutan kewangan, sebaliknya melibatkan kepentingan jangka panjang negara dalam aspek jaminan makanan dan kelestarian sumber air.
“Kalau hasil padi terjejas, kita terpaksa import beras. Ini akan melibatkan kos tukaran asing yang tinggi. Jadi, dengan mengekalkan kawasan ini, kita sebenarnya membantu negara menjimatkan perbelanjaan,” ujarnya.
Terdahulu, Muhammad Sanusi pada sesi pergulungannya di Persidangan DUN Kedah berkata, kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Mei 2023, namun sehingga kini masih belum dipertimbangkan secara muktamad.
Tambah beliau, beberapa siri perbincangan dan pembentangan telah diadakan, namun kerajaan negeri akan terus bersuara bagi memastikan permohonan tersebut diberi perhatian sewajarnya.
“Selaras dengan Titah Sultan Kedah, adalah wajar untuk kerajaan Persekutuan mempertimbangkan permohonan kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri akan terus bersuara kerana pengorbanan ini hanya akan berbaloi dengan bayaran insentif fiskal yang setimpal,” katanya.
Jelasnya, insentif fiskal yang dipohon ini berbeza daripada peruntukan sedia ada di bawah agensi kerajaan Persekutuan seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda yang lebih tertumpu kepada pembangunan infrastruktur dan bantuan kepada pesawah.
Menurutnya, insentif itu bertujuan menampung kehilangan hasil kerajaan Negeri.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah bahawa pengorbanan Kedah mengekalkan 119,000 hektar kawasan padi serta 160,000 hektar kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda wajar diberi insentif kewangan oleh kerajaan Persekutuan.
Baginda menegaskan, permohonan tersebut perlu dipertimbangkan bagi memastikan kelangsungan fungsi Kedah sebagai jelapang padi negara terus terpelihara.




