
TAWAU: Penetapan jumlah keseluruhan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah masih belum dapat dimuktamadkan berikutan proses penelitian pelbagai aspek berkaitan termasuk formula pembayaran, isu teknikal dan rundingan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri masih berlangsung.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Ts Mustapha Sakmud (gambar) berkata penelitian jumlah keseluruhan tuntutan hasil bersih itu juga mengambil-kira kemampuan kewangan Kerajaan Persekutuan berdasarkan kedudukan fiskal ekonomi negara semasa.
“Nilai penuhnya masih belum lagi dapat ditetapkan namun tidak dinafikan ada pihak yang meminta supaya pengiraan dibuat mengikut angka-angka kutipan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),” katanya.
Mustapha ditanya berhubung perkembangan status terkini tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah dan kaitannya dengan peruntukan pemberian khas interim sebanyak RM1.5 bilion untuk negeri ini, pada sidang media di Kompleks Sukan Tawau (KST), di sini, Ahad.
Menurutnya, walaupun kedua-duanya melibatkan situasi berasingan namun pemberian dana RM1.5 bilion terbabit sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan tuntutan hasil bersih Sabah kerana turut dirundingkan di dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPPM63).
“RM1.5 bilion itu memang ada kaitan dengan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah, tetapi itu adalah jumlah bayaran sementara sebab ketetapan jumlah penuh tuntutan 40 peratus belum lagi selesai sepenuhnya dan masih berada di dalam kategori senarai perkara-perkara yang dirundingkan,” katanya.
Beliau mendedahkan tuntutan 40 peratus terbabit mengambil kira rundingan yang dijalankan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri menerusi MTPPM63 disebabkan kewujudan majlis itu juga menumpukan perkara-perkara sama yang diberikan pertimbangan di dalam tuntutan hasil bersih Sabah.
Mengulas lanjut, beliau berkata sebarang ketetapan jumlah bayaran tuntutan 40 peratus terbabit akan melibatkan kesepakatan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri menerusi siri rundingan yang berjalan dari semasa ke semasa antara kedua-dua pihak.
“Namun perlu juga dimaklumi bahawa ketika ini kita menghadapi krisis kesan peperangan Iraq dengan Amerika Syarikat dan Israel yang memberikan kesan terhadap keupayaan negara seperti menanggung kos subsidi bahan api yang meningkat dari RM15 bilion pada belanjawan tahun lepas kepada RM40 bilion.
“Kita juga berdepan pelbagai cabaran terutama krisis global yang mempengaruhi kemampuan kita memberikan RM1.5 bilion untuk Sabah sebagai pemberian khas interim namun jumlah ini sebenarnya adalah peningkatan yang amat ketara berbanding usaha kerajaan terdahulu,” katanya.
Tambahnya, perkembangan terkini juga menuntut Kerajaan Persekutuan supaya menjadikan aspek kesejahteraan rakyat secara keseluruhan sebagai keutamaan dalam membuat keputusan termasuklah memastikan mekanisme subsidi bersasar yang berkesan dapat dilakukan bagi menangani isu bebanan kos hidup rakyat.
Dalam lawatannya ke Tawau, Mustapha turut meluangkan masa menyerahkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa kebakaran di Lorong Haji Salleh Batu 2 Jalan Apas, baru-baru ini, yang ketika ini ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) KST.
Sempena lawatannya, beliau turut mendedahkan peruntukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pada tahun hadapan telah ditingkatkan kepada RM260 juta, yang turut melibatkan kenaikan nilai sumbangan pembaikan kos rumah dari RM5,000 kepada RM10,000 untuk ketua isi rumah yang terjejas kebakaran.





