
PETALING JAYA: Bayaran khas kepada Sabah yang meningkat sebanyak RM1.5 bilion oleh Kerajaan Persekutuan tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad tuntutan Sabah terhadap 40 peratus hasil bersihnya.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, rundingan bagi mencari formula baharu perlu diteruskan sehingga tuntutan berkenaan direalisasikan sepenuhnya.
Beliau berkata, pendirian kerajaan negeri kekal teguh iaitu Sabah berhak menuntut hak 40 peratus di bawah kerangka Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Bayaran interim ini tidak seharusnya dianggap sebagai penyelesaian muktamad bagi tuntutan Sabah terhadap 40 peratus daripada hasil bersihnya di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Penerimaan Sabah terhadap bayaran ini sama sekali tidak bermaksud kita sudah berpuas hati atau menerima penyelesaian ini secara mutlak,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.
Kelmarin, Kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan bayaran interim RM1.5 bilion kepada Sabah mulai tahun ini, sementara rundingan berhubung penyelesaian tuntutan 40 peratus hasil negeri itu diteruskan.
Arthur pada masa sama berkata, usaha memperkasakan MA63 turut merangkumi hak perwakilan politik Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat yang ketika ini hanya sekitar 25 hingga 27 peratus.
Katanya, penstrukturan semula perlu dilakukan susulan keluarnya Singapura daripada Persekutuan bagi memastikan ia selari dengan semangat asal pembentukan Malaysia.
“Saya sudah memperjuangkan isu ini secara konsisten di Dewan Rakyat sejak 2018 dan akan terus membawanya di peringkat Kabinet Persekutuan,” katanya. – UTUSAN
The post Tuntutan MA63: Bayaran RM1.5 bilion bukan penyelesaian muktamad appeared first on Utusan Malaysia.






