Tuntutan Palsu Hampir RM90,000, 2 Beranak Dicekup SPRM

19 Jul 2023 • 9:50 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tuntutan palsu itu dikemukakan kepada sebuah agensi kerajaan tiga tahun lalu - gambar hiasan

JOHOR BAHRU -- Dua beranak ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor semalam kerana dipercayai mengemukakan tuntutan palsu berjumlah hampir RM90,000 kepada sebuah agensi kerajaan, tiga tahun lepas.

Menurut sumber, pemilik sebuah syarikat dan pengarah projek, yang merupakan lelaki berusia 50 tahun dan 25 tahun, ditahan di pejabat SPRM Johor pada kira-kira 8 malam selepas hadir memberi keterangan.

Difahamkan pada 2020, kedua-dua lelaki telah mengemukakan tuntutan palsu kepada agensi itu berkaitan tuntutan program subsidi upah melibatkan dana kerajaan.

Sumber itu berkata kedua-dua lelaki telah melampirkan senarai nama pekerja yang layak sedangkan hasil tuntutan tersebut tidak dibayar kepada pekerja syarikat terbabit.

Katanya mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua lelaki dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. -- BERNAMA