Tuntutan Palsu Insurans Kemalangan, 2 Lelaki, Pemandu Jabatan Kerajaan Direman 4 Hari

15 Jun 2022 • 3:51 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
2 daripada 3 individu ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung tuntutan insurans palsu di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR -Tiga individu termasuk seorang penjawat awam direman antara dua hingga empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu insurans kemalangan kereta tahun lalu.

Perintah reman terhadap kesemua suspek dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Syafiq Sulaman selepas permohonan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.

Sumber rapat SPRM memaklumkan kepada Getaran, suspek berusia antara 22 hingga 35 tahun itu ditahan petang semalam selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

“Mereka (suspek) yang terlibat dalam kes ini merupakan penghantar barang (runner) bengkel, pegawai keselamatan dan pemandu di sebuah jabatan kerajaan.

“Kesemua mereka disyaki berkomplot dalam urusan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu berkaitan tuntutan insurans kemalangan kereta jenis perodua Alza atas seorang penama tahun lalu,” katanya, hari ini.

Sumber memberitahu, siasatan mendapati penama berkenaan tidak membuat sebarang tuntutan dan suruhanjaya berkenaan masih menyiasat jumlah tuntutan yang dibuat.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan 

“Ya (mereka telah ditahan dan direman). Sedang disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya ringkas. - Getaran, 15 Jun 2022.