HULU LANGAT, 1 SEP: Projek turapan mega 2.0 yang bermula bulan ini menggunakan teknologi baharu dinamakan ‘jet patcher’ untuk hasil tampalan lebih tahan dan kukuh.
EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata kaedah baharu menggunakan teknologi tinggi membabitkan peruntukan RM20 juta.

“Kertas bajet RM20 juta sudah lulus. Minggu ini kertas mengenai kaedah pelaksanaan (akan bincang) kerana kita ada ubah sedikit.
“Kita ada teknologi baharu, tampalan ‘jet patcher’ yang berteknologi tinggi, akan membantu banyak dari ketahanan lubang. Perinciannya kita akan beritahu nanti,” katanya selepas meninjau program Inisiatif Tangkap Ikan Bandaraya (pleco) di Denai Sungai Kebangsaan, Sungai Langat di sini hari ini.

Sebelum ini Izham berkata projek turapan mega 2.0 memfokus pada jalan yang mengalami kerosakan kritikal dengan kerja membaik pulih menggunakan jentera baharu berteknologi tinggi yang diimport dari United Kingdom.
Tahun lalu, Kerajaan Selangor mengeluarkan belanja RM50 juta bagi projek turapan jalan raya secara mega meliputi penyelenggaraan dan pelebaran jalan untuk meningkatkan kemudahan penduduk dan dijalankan secara menyeluruh.
Meliputi jarak 94.9 kilometer, kerja penyelenggaraan itu melibatkan 66 jalan di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (lapan).

The post Turap jalan mega: Guna teknologi baharu pastikan tampalan lebih tahan appeared first on Selangorkini.



