Turkiye Dilapor Hapus Had Umur Persaraan 

30 Dec 2022 • 12:54 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Turkiye Dilapor Hapus Had Umur Persaraan

Turkiye menghapuskan syarat umur persaraan, bagi membolehkan lebih dua juta pekerja bersara serta-merta, lapor Daily Sabah.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengesahkan perkara itu dalam sidang akhbar yang dilakukan pada Rabu.

Peraturan baharu itu akan memberi manfaat kepada mereka yang mula bekerja sebelum September 1999, apabila undang-undang yang mengawal selia keperluan persaraan berubah.

Dalam pada itu, ia juga memberi kebaikan kepada pekerja yang telah menjalankan tugas selama 20 hingga 25 tahun, yang telah berdaftar dalam keselamatan sosial.

Ribuan rakyat yang mahu menggunakan hak bersara dengan mengambil kesempatan daripada peraturan baharu itu, berbaris di hadapan bangunan Institusi Keselamatan Sosial (SGK) di seluruh negara bermula awal pagi Khamis.

Terdahulu, umur persaraan ditetapkan pada 58 tahun bagi wanita dan 60 tahun bagi lelaki. Namun pada kini, penjelasan mengenai peraturan baharu itu masih lagi belum jelas.

Erdogan berkata 2.25 juta orang layak untuk bersara serta-merta dan pada masa ini terdapat 13.9 juta pesara di Turkiye.

“Dengan kenaikan besar dalam gaji minimum untuk gaji awam dan pencen, kami telah menunjukkan bahawa kami akan memihak kepada pekerja berpendapatan tetap yang mengalami kesan krisis global ke atas negara kami,” kata Erdogan.

Negara itu telah menaikkan kadar gaji minimum pada minggu lalu sebagai sebahagian daripada kempen untuk melindungi rakyat daripada inflasi.

Gaji minimum dinaikkan sebanyak 54.5 peratus dan akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023 pada Ahad ini.

Individu bujang akan menerima gaji minimum bersih kira-kira RM2,000 sebulan berbanding sebelum ini diterima sebanyak RM1,300 sebulan.

Sumber: Daily Sabah