
ANKARA: Turkiye telah mengeluarkan waran tangkap antarabangsa terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap tindakan Israel memintas sebuah flotila bantuan untuk Gaza, kata Menteri Kehakiman, Akin Gurlek pada Jumaat menerusi X.
Turkiye sebelum ini telah mengeluarkan waran terhadap Netanyahu dan beberapa pegawai kanan lain atas pertuduhan genosid atau pembunuhan beramai-ramai berhubung tindakan Israel dalam perang di Gaza.
Gurlek berkata, prosiding kehakiman berhubung insiden itu, yang melibatkan aktivis yang cuba menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, masih berlangsung di Mahkamah Jenayah Berat ke-11 Istanbul.
Kes yang didaftarkan di bawah fail No. 2026/108 itu melibatkan 35 tertuduh, termasuk Netanyahu dan seorang pegawai kanan Israel, Afek Moskovitch.
Gurlek berkata waran tangkap terhadap Netanyahu dan Moskovitch telah dikeluarkan pada 14 Julai 2026 atas pertuduhan genosid.
Susulan waran tersebut, Kementerian Kehakiman meminta Kementerian Dalam Negeri memohon notis merah Interpol supaya kedua-dua individu itu disenaraikan sebagai individu yang dikehendaki di peringkat antarabangsa, manakala dokumen berkaitan turut dihantar kepada Kementerian Luar.
Menurut Gurlek, Netanyahu dan Moskovitch dibicarakan berhubung tindakan campur tangan bersenjata terhadap orang awam yang menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza di perairan antarabangsa dan penahanan aktivis.
Pertuduhan terhadap mereka termasuk jenayah terhadap kemanusiaan, genosid, perampasan kebebasan secara serius, kecederaan yang disengajakan, penyeksaan, kerosakan harta benda, rompakan dengan keadaan memberatkan dan merampas atau merompak kenderaan pengangkutan. – AGENSI
The post Turkiye keluar waran tangkap antarabangsa terhadap Netanyahu appeared first on Utusan Malaysia.



