Tindakan tegas kepada syarikat sertai tender penempatan E1 – Anwar

WorldPolitics
21 Aug 2026 • 12:55 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tindakan tegas kepada syarikat sertai tender penempatan E1 – Anwar

PETALING JAYA – Malaysia akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana syarikat antarabangsa yang memilih untuk menyertai tender pembinaan projek penempatan E1 di timur Baitulmaqdis, Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu susulan keputusan rejim Israel meneruskan projek penempatan tersebut.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya keputusan rejim Israel untuk mengeluarkan tender pembinaan bagi projek penempatan E1. Malaysia akan mengambil perhatian terhadap mana-mana syarikat antarabangsa yang memilih untuk menyertai tender ini dan akan bertindak sewajarnya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Anwar berkata, kawasan E1 yang terletak di timur Baitulmaqdis merupakan kawasan penting bagi memastikan kelangsungan sebuah negara Palestin.

Katanya, pembinaan penempatan di kawasan itu berpotensi memisahkan Tebing Barat sekali gus menjejaskan peluang untuk mewujudkan sebuah negara Palestin yang berterusan dan berdaulat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa, namun Israel terus bertindak tanpa menghiraukan kecaman masyarakat antarabangsa.

“Keputusan ini dibuat ketika keganasan peneroka terhadap orang awam Palestin di Tebing Barat berada pada tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini, selain genosid yang berterusan di Gaza.

“Keadaan ini menunjukkan rejim Israel sudah meninggalkan segala kepura-puraan untuk mencari keamanan atau menghormati kehendak masyarakat antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan Malaysia kekal teguh bersama rakyat Palestin serta menyokong hak mereka untuk memiliki sebuah negara Palestin yang berdaulat, berdaya maju, bersambung wilayah dan merdeka. – KOSMO! ONLINE

The post Tindakan tegas kepada syarikat sertai tender penempatan E1 – Anwar appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved