
KUALA LUMPUR - Roda kehidupan sentiasa berputar dan hari ini, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang terpalit ‘getah daripada nangka yang dimakannya sendiri’.
Beliau kini sedang menelan pahit, natijah daripada kerakusan permainan politik yang diaturkannya.
Dua bulan lalu, beliau begitu lantang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tunduk kepada desakan jalanan di himpunan ‘Turun Anwar’.
Dan sekarang, seruan sama kembali menerjah dirinya malah ia jauh lebih menyakitkan kerana datang dari kelompok sendiri; BERSATU.
Di Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) BERSATU malam tadi, ahli-ahli parti itu jelas sudah hilang sabar.
Suara-suara menuntut Muhyiddin turun bergema jelas, menandakan hilangnya keyakinan terhadap seorang pemimpin yang semakin kabur hala tujunya.
Muhyiddin tidak lagi relevan. Selepas dengan bangga mendabi dada sebagai ‘Melayu sejati’ satu ketika dulu, kini beliau secara tiba-tiba mahu mahu menjenamakan diri sebagai pemimpin semua kaum, kononnya prihatib dengan nasib semua rakyat Malaysia.
Senario berkenaan jelas menampakkan Ahli Parlimen Pagoh itu tidak menyedari hakikat bahawa rakyat sudah muak dengan pusingan U seorang politikus yang lemah dan oportunis.
Sekarang satu Malaysia sudah dapat melihat wajah sebenar Muhyiddin; tidak konsisten, tidak berprinsip dan hanya menukar skrip untuk menyelamatkan kerusi kuasanya.
Muhyiddin Terdesak, PN Kian Hilang Arah
Muhyiddin sendiri sedar PN kini dilabel terlalu berorientasi semangat ‘Melayu-Islam’.
Justeru untuk memancing undi, beliau mula berbicara tentang pentingnya sokongan bukan Melayu, malah mengakui secara terbuka PN boleh menambah 15 hingga 22 kerusi parlimen dengan bantuan mereka.
Persoalannya; di manakah prinsip beliau sebagai pejuang Melayu-Islam yang selama ini dijaja merata negara? Apakah semua itu sekadar topeng politik yang boleh ditanggalkan sesuka hati mengikut keperluan?
Realitinya, pembangkang ketika ini hanya menguasai 68 kerusi dan tambahan 22 kerusi masih tidak berupaya mencukupkan bilangan diperlukan, tanpa sokongan Sabah serta Sarawak.
Jelas di sini, laluan Muhyiddin untuk kembali ke Putrajaya semakin tertutup rapat dan penuh ranjau berduri.
Janji Tinggal Janji, Dari Pemimpin Ke Liabiliti
Tahun lalu pada AGM BERSATU, Muhyiddin pernah berjanji tidak akan lagi mempertahankan jawatan presiden parti, atas alasan mahu memberi laluan kepada pemimpin muda.
Tetapi apa yang berlaku sekarang? Janji tinggal janji. Beliau tetap ‘melekat’ di kerusi presiden, enggan berundur walaupun sudah jelas tidak lagi diterima ahli parti sendiri.
Seorang pemimpin yang berpaut pada kuasa dengan alasan basi bukanlah pemimpin, tetapi liabiliti. Dan hari ini, Muhyiddin adalah liabiliti terbesar BERSATU dan PN.
Ahli sudah bersuara dan mesej dibawa cukup jelas; Muhyiddin perlu turun. Mereka tahu jika beliau terus berdegil, BERSATU akan karam bersama kepimpinannya yang kian rapuh.
Lebih malang, imej PN sendiri akan terus rosak kerana dibayangi seorang tokoh lapuk yang sudah tidak punya apa-apa untuk ditawarkan. Pada usia 78 tahun, Muhyiddin bukan lagi aset harapan, sebaliknya beban yang memusnahkan.
Seorang pemimpin kanan UMNO yang tidak lagi aktif berpolitik pernah berpesan untuk berhenti bila tiba masanya.
“Dalam politik, mesti tahu bila masanya untuk berhenti. Ada pemimpin muda yang lebih berkaliber. Jangan jadi penghalang,” katanya yang enggan dikenali.
Kata-kata itu cukup jelas. Muhyiddin sudah menjadi penghalang kepada pemimpin lain untuk berkembang.
Bekas PM Yang Gagal
Muhyiddin Yassin bukan lagi simbol kekuatan politik Melayu. Beliau hanyalah bayangan seorang bekas perdana menteri yang gagal, tetapi masih cuba bertahan dengan helah basi dan retorik lama untuk kekal relevan.
Laungan ‘Turun Tan Sri’ yang bergema malam tadi bukan lagi sekadar bisikan pembangkang atau lawan politik, tetapi kini menjadi laungan ahli partinya sendiri.
Soalnya sekarang; adakah Muhyiddin masih mahu terus berdegil, atau beliau sanggup menerima hakikat pahit bahawa karier politiknya sudah tamat?
Jawapan sebenarnya sudah ada.
Masa untuk beliau turun sudah tiba dan lebih molek ia dilakukan ketika sisa hormat ahli untuknya masih tersemat di hati mereka. - Getaran, 7 September 2025
