‘Turunkan umur persaraan ke 55 atau 58, bukan naikkan’ – Dr Azman

LocalPolitics
22 May 2025 • 11:18 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Cadangan menaikkan umur persaraan wajib penjawat awam kepada 65 tahun menerima bantahan daripada Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Dr Azman Ibrahim, yang sebaliknya mencadangkan agar had usia tersebut diturunkan kepada 55 atau 58 tahun sahaja.

Menurut Dr Azman, langkah menaikkan umur persaraan tidak mengambil kira faktor fizikal dan keupayaan semasa penjawat awam, khususnya dalam jawatan seperti kerani dan guru yang memerlukan tahap tenaga dan mobiliti tertentu.

“Nak minta kerani berkhidmat sampai umur 65 tahun, saya bimbang ada yang sudah kelabu mata tengok ‘keyboard’ komputer. Cikgu pun kasihan juga, sekolah empat tingkat tak ada lif, larat ke nak naik turun tangga?” katanya memetik laporan Harakah Daily.

Tambah beliau, sekiranya terdapat individu yang memiliki kepakaran khusus dan masih diperlukan dalam perkhidmatan awam, khidmat mereka boleh disambung secara kontrak tanpa perlu menaikkan umur persaraan wajib secara menyeluruh.

Dr Azman yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu berkata, selepas berkhidmat dalam sektor awam selama tiga dekad, beliau merasakan tempoh tersebut sudah mencukupi untuk seseorang menyumbang kepada pembangunan negara.

“Graduan baharu ramai yang sedang menunggu peluang pekerjaan. Sudah tiba masanya mereka pula diberi ruang untuk berbakti,” katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan agar umur persaraan wajib dinaikkan kepada 65 tahun, mengambil kira jangka hayat rakyat yang semakin panjang dan keupayaan warga emas untuk terus menyumbang secara aktif kepada masyarakat serta ekonomi negara.

Cadangan itu bagaimanapun mencetuskan perdebatan dalam kalangan pelbagai pihak, termasuk pemimpin politik dan masyarakat sivil yang mahu isu pengangguran belia turut diberikan perhatian sewajarnya.