
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak belakangan ini, isu pelarian di Malaysia kembali menjadi perhatian dan mencetuskan pelbagai pandangan dalam kalangan masyarakat.
Meskipun Malaysia bukan ahli Konvensyen Pelarian 1951, namun negara kita sejak sekian lama telah menjadi negara transit dan perlindungan sementara kepada pelarian serta pencari suaka yang melarikan diri daripada peperangan, konflik bersenjata dan penindasan di tempat asal.
Terbaharu Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan Malaysia mungkin perlu mempertimbangkan semula keberadaan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di sini sekiranya badan berkenaan tidak memberikan kerjasama dalam urusan pelarian.
Jelas beliau, kerjasama itu adalah penting demi memastikan proses saringan berjalan dengan ketat sebelum kad UNHCR diberikan kepada seseorang pelarian.
“Kalau mereka tidak mahu bekerjasama, sudah sampai masanya kita mempertimbangkan semula keberadaan UNHCR di dalam negara kita. Itu pandangan saya, supaya kita tidak terus terbeban.
“Ini menjadi satu magnet kepada pelarian untuk datang ke Malaysia kerana adanya pejabat UNHCR dan boleh memberikan kad dengan sewenang-wenangnya. Itu perlu kita urus dengan baik,” katanya dipetik Berita Harian.
KDN sedang usahakan mekanisme agar setiap permohonan oleh pelarian disaring dengan menyeluruh
Tambah Mohamad Hasan yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat, Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika ini sedang mengusahakan mekanisme dalam memastikan setiap individu menjalani proses saringan yang teliti dan mendapat kelulusan daripada kementerian itu sebelum mendapat kad UNHCR.
Tegasnya Malaysia seharusnya mempunyai perjanjian yang jelas dengan badan terbabit agar dapat menetapkan bidang kuasa, tanggungjawab serta perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukannya di negara ini.
“Kita mesti ada perjanjian antarabangsa supaya mereka boleh buat apa ataupun mereka tidak boleh buat itu dan ini.
“Tetapi nampaknya sekarang tidak ada apa-apa, tidak ada prosedur operasi standard (SOP).
“Mereka buat permohonan dalam talian ketika berada di Myanmar, kemudian datang ke sini dan terus mengambil kad.
“Ini bermakna saringan kita tidak ada. Ini yang perlu kita uruskan dengan baik.
“Kita perlu menjaga keselamatan dan ketenteraman dalam negara. Kita tidak mahu kerana baik hati kita, ia akhirnya menjadi masalah kepada ketenteraman dan keselamatan negara,” katanya.
Ratusan pelarian Rohingya berhimpun depan pejabat UNHCR selepas diusir penduduk sebuah kampung di Pulau Pinang
Semalam (28 Julai) media melaporkan ratusan pelarian Rohingya berhimpun, lengkap dengan bagasi dan barangan peribadi di perkarangan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur.
Difahamkan mereka tiba di ibu negara awal dari Pulau Pinang selepas diusir oleh penduduk tempatan di sebuah kampung di utara tanah air itu.
Semakan pihak berkuasa dapati semua ada dokumen UNHCR
Pemeriksaan pihak berkuasa di Dataran Wira Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur kemudian mendapati kesemua mereka mempunyai dokumen sah dari UNHCR.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus pihak UNHCR sedang berusaha mengambil tindakan lanjut ke atas pelarian-pelarian terbabit.



