Tutup seketika LPT untuk RXZ Members, perlukah sampai begitu?

15 Aug 2026 • 8:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tutup seketika LPT untuk RXZ Members, perlukah sampai begitu?
Penganjur RXZ Members akan membuat permohonan kepada LLM agar LPT1 dan LPT2 ditutup seketika untuk memberi laluan kepada peserta program berkenaan pada masa datang. Foto fail Bernama

PERLUKAH Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dan LPT2 ditutup seketika hanya kerana ribuan peserta konvoi RXZ mahu bergerak dalam satu laluan?

Persoalan itu wajar ditimbulkan susulan cadangan penganjur RXZ Members supaya LPT ditutup sementara bagi memberi laluan kepada peserta konvoi pada penganjuran akan datang.

Pada Jumaat, RXZ Members mengemukakan cadangan berkenaan sebagai antara langkah untuk memastikan pergerakan peserta lebih teratur dan selamat.

Pengarah Program RXZ Members, Mohd Lukhman Hassan berkata, perkara tersebut merupakan antara cadangan penambahbaikan yang dikemukakan pihaknya ketika sesi libat urus bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Khamis.

Niatnya mungkin baik, apatah lagi keselamatan peserta sememangnya perlu diberi perhatian, lebih-lebih lagi selepas beberapa kemalangan maut berlaku sepanjang RXZ Members 8.0.

Bagaimanapun, apabila melibatkan penutupan sebuah lebuh raya utama yang digunakan orang ramai, persoalannya bukan lagi sekadar soal keselamatan peserta, sebaliknya juga perlu mengambil kira kepentingan ribuan pengguna LPT yang lain.

Istimewa sangatkah RXZ sehingga pengguna LPT lain perlu berhenti, menunggu atau mengubah perjalanan mereka semata-mata untuk memberi laluan kepada sebuah konvoi?

Soalan ini bukan bertujuan mempertikaikan minat peminat RXZ atau usaha penganjur memastikan keselamatan peserta, namun ia mengingatkan bahawa LPT ialah kemudahan awam yang digunakan bersama.

RXZ mungkin motosikal legenda, RXZ mungkin mempunyai peminat yang sangat ramai dan RXZ mungkin mempunyai nilai nostalgia yang besar.

Tetapi semua itu tidak menjadikan penunggangnya mempunyai keistimewaan di jalan raya.

Perlu diingatkan, LPT bukan litar perlumbaan, malah ia juga bukan laluan eksklusif untuk RXZ Members atau mana-mana kelab permotoran.

Setiap hari, LPT digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk pekerja, keluarga yang pulang ke kampung, pemandu lori dan bas, kenderaan perkhidmatan awam serta mereka yang mempunyai urusan penting.

Ada yang mungkin sedang mengejar waktu bekerja, menghantar anak, mendapatkan rawatan atau sekadar mahu pulang bertemu keluarga.

Justeru, jika penutupan LPT dipertimbangkan, kepentingan mereka juga perlu diberi ruang dalam perancangan.

Cadangan menutup LPT mungkin dibuat dengan niat memastikan keselamatan peserta, tetapi selepas tragedi yang berlaku, semua pihak perlu berfikir lebih jauh.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved