Tutup Sekolah Jika Suhu Lebih 37 Selsius 3 Hari Berturut - KPM

LocalEnvironment
27 Mar 2026 • 5:45 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Pengurusan sekolah dibenarkan menutup sekolah buat sementara waktu jika suhu melebihi 37°C selama tiga hari berturut-turut.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) sejak 2023 dan boleh dilaksanakan jika keadaan panas dan kering bertambah buruk.

“Jabatan Pendidikan Negeri dan sekolah mempunyai pengalaman yang mencukupi dalam menguruskan situasi semasa.

“Kami menyedari bahawa ini masih menjadi cabaran bagi KPM dalam memastikan keselesaan dan kesihatan pelajar,” katanya selepas lawatan kerja ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng, seperti dilaporkan Bernama.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching.

Mengulas lanjut Kah Woh berkata, aktiviti luar juga perlu ditangguhkan jika suhu berada antara 35 dan 37°C selama tiga hari berturut-turut, termasuk larian merentas desa, perkhemahan, latihan dan aktiviti luar lain.

KPM katanya, telah mengarahkan semua pentadbir, termasuk pengetua, guru besar dan Pejabat Pendidikan Daerah, untuk memantau tahap suhu harian di sekolah dan dalam daerah masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Kah Woh berkata, SJKT Gopeng akan menjalani pembangunan semula di bawah projek RM14.5 juta untuk menggantikan bangunan usang.

Beliau berkata projek itu dijangka bermula akhir tahun ini dan akan mengambil masa 22 bulan untuk disiapkan.

Ia melibatkan perobohan struktur sedia ada dan pembinaan blok tiga tingkat baharu yang terdiri daripada enam bilik darjah, pejabat pentadbiran, bilik guru dan stor sukan.

“Sekolah ini berusia 80 tahun, dan bilik darjah utama serta blok pentadbirannya telah terjejas oleh serangan anai-anai.

“Jika semuanya berjalan seperti yang dirancang, projek ini dijangka siap menjelang akhir tahun 2028, membolehkan pelajar berpindah ke bangunan baharu,” katanya. – Getaran, 27 Mac 2026